Jika kita masih ingat sewaktu negara sedang hangat bersiap sedia untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, boleh dikatakan semua medium samada di media sosial mahupun di kedai-kedai mamak mahupun kedai kopi di simpang kampung-kampung di seluruh Malaysia begitu berharap peralihan kerajaan yang mereka yakini mampu menjadi lebih baik berbanding kerajaan Barisan Nasional.
Alasannya mudah. Dengan diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, pastinya Malaysia akan bergerak maju seperti mana era pentadbiran selama 22 tahun beliau di negara ini. Maka bertebaranlah hashtag Rindu Zaman Tun di media sosial dengan harapan, Tun Dr Mahathir mampu menjadi jauh lebih baik berbanding Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Dengan bermodalkan 10 janji dalam 100 hari yang menjadi trademark kempen Pakatan Harapan, maka berduyun-duyunlah rakyat Malaysia memberi mandat buat sebuah pakatan yang amat rapuh dengan diketuai oleh seorang veteran politik dengan musuh politik orang Melayu, DAP berada di belakangnya.
Hari ini, hashtag Rindu Zaman Tun benar-benar telah berlaku. Manakan tidak, harga sawit hari ini berada di antara RM 250 hingga RM 270 se tan. Itu belum lagi harga getah yang dikhabarkan berada di dalam lingkungan RM 1.50 hingga RM 1.60 sekilogram. Bagi nelayan pula, dengan ketiadaan bantuan terus dari kerajaan, nelayan Melayu secara tidak langsung terpaksa bersaing dengan nelayan kaum Cina yang mempunyai latar belakang kewangan yang amat kukuh.
Dari segi kutipan cukai pula, setelah begitu hebat memfitnah GST sebagai punca kenaikan harga barangan keperluan, selepas pengenalan SST, hari ini harga barang semakin melambung. Agak lucu sebenarnya. Andai kita tanya kepada anak-anak kita yang berumur 5 tahun pun, mereka akan menyatakan 6 peratus jauh lebih rendah berbanding 16 peratus. Bagaimana orang dewasa boleh jadi jauh lebih dungu berbanding budak yang berusia 5 tahun?
Sudahlah barang semakin meningkat, gaji asas pula hanya dinaikkan RM 50 berbanding janji untuk menaikkan gaji asas kepada RM 1,500. Mungkin kita terlepas pandang agaknya dalam 10 janji dalam 100 hari manifesto Pakatan Harapan. Mungkin terselit satu klausa yang menyatakan kenaikan itu mengikut peratusan dari janji yang mereka tabur.
Tentang pekerjaan pula, Pakatan Harapan menjanjikan sejuta peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia. Hari ini apa yang dilihat, operasi pembersihan besar-besaran sedang berlaku. Kita mungkin tiada angka sebenar berapa ramai yang sudah kehilangan kerja namun jika dilihat dari senarai panjang jabatan mahupun agensi yang terlibat, angkanya mungkin sudah mencecah 100 ribu orang yang menganggur.
Dari sudut ekonomi pula, Malaysia sebenarnya sudah berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Dengan pertubuhan ekonomi di jangka berada di antara 5.2 hingga 5.5 peratus menjelang pertengahan tahun hadapan, hari ini, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada tahap 4.9 peratus.
Ringgit pula semakin hari semakin melemah sehinggakan pemerhati ekonomi menjangkakan, Ringgit akan berada pada RM 4.25 berbanding 1 Dolar Amerika. Bukankah sebelum ini, Pakatan Harapan mendakwa, turun Najib, Ringgit akan meningkat? Hari ini Datuk Seri Mohd Najib sudahpun berjaya di jatuhkan. Kenapa Ringgit tidak juga naik?
Bagi mereka yang bergelumang dalam pasaran saham KLSE, sejak 6 bulan Pakatan Harapan mentadbir negara, hanya beberapa kali indeks KLSE mencatatkan kenaikan. Selebihnya, semua didagangkan dalam keadaan lemah dengan indeks KLSE mencatatkan penurunan berturut-turut untuk tempoh sebulan tanpa henti. Pencapaian hebat ni...
Itu belum lagi menyentuh mengenai kegiatan LGBT yang membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi dengan negara yang membenarkan kegiatan LGBT. Kalau ini diambil kira, rasanya, Malaysia telah maju dalam sektor seks berbanding pelbagai sektor yang mampu membela rakyat.
Paling menarik adalah, bagaimana 1MDB terus dijadikan modal buat kerajaan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir sendiri untuk memburukkan imej Datuk Seri Mohd Najib dan UMNO. Dengan bermodalkan SPRM dan AMLA, deretan pemimpin UMNO dihadapkan kemahkamah tanpa ada sebarang kertas pertuduhan di bawa. Senarai ini termasuklah Datin Seri Rosmah Mansur sendiri.
Sampai hari ini, ramai yang memikirkan, bagaimana 1MDB mampu menjana ekonomi negara. Bagaimana 1MDB mampu melonjakkan harga sawit dan getah dan membantu golongan luar bandar. Paling utama, bagaimana 1MDB mampu menurunkan harga barang.
Apa yang melucukan, disebalik pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap 1MDB, syarikat pelaburan yang diasaskan dari Terengganu Investment Authority (TIA) ini masih terus diuruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Lebih hebat lagi, kerajaan siap melantik Ketua Pengarah Eksekutif baru lagi buat syarikat ini. Katanya bermasalah, kenapa tidak ditutup sahaja?
Hari ini, ingin ditanyakan kepada para pengamal politik media sosial pro Pakatan Harapan samada di kedai mamak, kedai kopi simpang kampung, kedai kopi janda mahupun di media sosial. Seronokkah berada di bawah kerajaan Malaysia Baru? Sudah tercapaikah hasrat kalian? Sudah semakin kayakah kalian? Rasanya, elok sahaja ikut contoh burung Unta bagaimana haiwan berkenaan menyorokkan wajah mereka kedalam tanah!
0 comments:
Post a Comment