Untuk kesekian kalinya, TUn Dr Mahathir Mohamad hadir dalam satu program yang dinamakan "Bersatu Blackout", malam semalam. Bukan satu yang aneh hari ini apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini telah terbahagi kepada dua. Apa yang melucukan, dengan masih menggunakan logo Bunga Raya yang sama, cuma warna yang menjadi latar belakang kedua-dua blok ini menampilkan perbezaan.
Bagi blok yang dikuasai oleh Tun M, mereka menggunakan warna hitam tanda bantahan keatas apa yang mereka dakwa pengkhianatan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yasin. Bagi Tan Sri Muhyiddin pula, beliau mengetuai blok satu lagi dengan menggunakan warna asal PPBM iaitu merah.
Keadaan ini jika kita lihat dengan kaca mata matang, saling tidak tumpah seperti perperangan antara kanak-kanak. Malah, tidak keterlaluan andai mengaitkan kedua-dua warna PPBM ini seperti filem keluaran Sony Pictures, Spiderman yang menampilkan superhero berkenaan mengenakan suit merah dan hitam. Mungkin sahajalah Tum M berminat melihat aksi Spiderman sehingga memberi ilham untuk mengenakan warna hitam terhadap blok yang diketuainya.
Apa lagi yang di mahukan Tun M? Jawapannya mudah. Hanya kuasa dengan modus operandi yang masih sama. Hancurkan imej musuh politik dan mengambil kesempatan keatas kejatuhan musuhnya. Modus operandi yang sama seperti mana yang beliau lakukan terhadap Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa kebangkitan the Sith Lord beliau pada 2014.
Jika kita masih ingat semasa 2014, beliau galak menyerang Dato Seri Mohd Najib dari segenap penjuru termasuk mempergunakan ahli UMNO yang masih kekal taksub kepadanya untuk mengentam Perdana Menteri keenam berkenaan hanya dengan menggunakan 1MDB. Kali ini modus operandi yang sama turut beliau gunakan.
Beliau menggunakan imejnya selaku Negarawan dengan mencari sokongan dari dalam partinya sendiri yang diperakui sudah berpecah belah demi sokongan politik. Malah, beliau sendiri pasti sedar bahawa sokongan terhadapnya di dalam Pakatan Harapan sendiri sudah lagi tidak relevan. Kini hanya tinggal dua nama iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Shafie Apdal sahaja yang menjadi pertaruhan supremo Pakatan Harapan, DAP.
Keadaan inilah yang menggusarkannya sehingga bertindak mewarna semula PPBM mengikut kehendaknya. Dari kem Tan Sri Muhyiddin, apa yang dilakukan oleh Tun M ini tidak lebih dari sekadar anjing menyalak bukit. Kerajaan Perikatan Nasional yang diketuainya masih terus berfungsi walaupun mempunyai majoriti yang amat tipis.
Kekuatan Perikatan Nasional jelas dapat dilihat hasil daripada sokongan yang diberikan oleh Barisan Nasional dan PAS. Andai Barisan Nasional memilih untuk tidak lagi bekerjasam dengan blok Tan Sri Muhyiddin dalam PPBM asal, besar kemungkinan kerajaan yang ada pada hari ini akan runtuh. Hal inilah yang menyebabkan Tan Sri Muhyiddin tidak langsung goyah dengan serangan yang dilakukan oleh parti serpihan PPBM yang diketuai oleh Tun M. Malah Tun M sendiri tidak dapat membuktikan sokongan padu yang diperoleh olehnya.
Disinilah Tun M menyedari, salah satu rentak yang perlu dilakukan untuk terus mendapat sokongan dari pentaksubnya adalah dengan terus menerus menjual nama Dato Seri Mohd Najib. Bukan satu perkara yang pelik apabila setiap kali Tun M dapat memegang microphone, nama wajib yang disebutnya adalah Najib. Walaupun beliau berperang dengan Tan Sri Muhyiddin, nama Najib mesti dikaitkan dengan apa jua cara sekalipun bagi mengekalkan sokongan pentaksubnya.
Ini bukan perkara yang menghairankan kerana sejak beliau menyertai politik, beliau tidak pernah mengakui kesalahan dirinya. Baginya, apa jua yang berlaku, jarinya akan cepat menunding kepada orang lain untuk dipersalahkan, walaupun kesilapan berkenaan hasil daripada kesilapan percaturannya sendiri.
Jadi, kekallah nama Dato Seri Mohd Najib menjadi bahan "zikir" Tun M demi mengejar kuasa dan mengejar kedudukan menjadi Perdana Menteri ke 9 usai PRU ke 15 kelak. Walaupun sasarannya adalah Tan Sri Muhyiddn, tetapi lidahnya lagi enak menyebut nama Najib disaat Tun M sendiri membawa PPBM tidak ubah seperti filem Spiderman 3 arah Sam Raimi yang diterbitkan pada 2007.
0 comments:
Post a Comment