My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 16 July 2023

    UMNO YANG "BUNUH" DIRI SENDIRI




    Agak menarik untuk diperkatakan apabila wujud dakwaan menayatakan, tindakan memboikot UMNO BN pada Pilihan Raya Negeri melibatkan enam negeri yang akan diadakan dalam tempoh dua bulan ini sebagai satu tindakan membunuh survival UMNO BN.

    Nampaknya, pihak pihak ini langsung tidak belajar apa yang telah berlaku sebelum ini di mana keadaan goyah dan lemahnya UMNO BN hari ini disumbangkan oleh UMNO itu sendiri. Kenapa? Mari kita mengimbau sedikit sejarah bagaimana UMNO BN semakin lemah akibat pemecatan pemimpin yang ada diantaranya bertindak bangkit menentang UMNO itu sendiri.

    1. Datuk Seri Anwar Ibrahim

    Tidak sah kiranya andai meninggalkan sosok tubuh Perdana Menteri ke 10 ini. Pada 1998, beliau dipecat dari UMNO atas salah laku yang beliau lakukan. Perlu diakui, sepanjang 20 tahun penglibatannya di dalam UMNO, beliau adalah pemimpin yang dilihat sebagai pemimpin pelapis UMNO. Justeru tidak hairanlah beliau berjaya mengumpul pengikutnya tersendiri dikalangan pemimpin muda UMNO pada ketika itu seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Sebaik beliau dipecat, UMNO benar benar berada dalam keadaan yang amat goyah. Ramai dikalangan pemimpin UMNO termasuk pemimpin muda UMNO bertindak meninggalkan parti sehingga tertubuhnya Parti Adil yang kita kenali sebagai Parti Keadilan Rakyat hari ini.

    Inilah bibit perpecahan dan pengkhianatan parti paling besar berlaku sepanjang tertubuhnya UMNO sejak 1946. Sehinggakan MCA dan MIC memainkan peranan yang amat besar menyelamatkan UMNO dari berkubur pada tahun 1999.

    2. Tun Dr Mahathir Mohamad

    Beliau adalah Presiden UMNO paling lama berkhidmat. Sebaik meletakkan jawatan pada 2003, beliau menyerahkan tampuk kuasa pada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hanya beberapa tahun kekal menyokong UMNO BN, beliau bertindak meninggalkan UMNO kerana tidak sehaluan dengan Tun Abdullah.

    Akibatnya, pengikut tegar Tun M juga bertindak meninggalkan parti. Cuma keadaan itu tidak seteruk sewaktu beliau meninggalkan UMNO pada 2016. Ini kerana pada ketika itu, beliau tidak menubuhkan apa apa parti bagi melawan UMNO. Pada 2016, sewaktu beliau meninggalkan UMNO, lebih ramai ahli UMNO keluar dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang mana akhirnya, PPBM berjaya menumbangkan UMNO pada PRU ke 14.

    3. Tan Sri Muhyiddin Yasin

    Beliau adalah mantan Timbalan Presiden UMNO. Beliau dipecat dari UMNO hanya kerana tidak berpuas hati dengan penerangan melibatkan 1MDB di mana beliau adalah antara pelopor penubuhan PPBM bersama sama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Pemergian beliau sekali lagi menarik keluar ahli UMNO sehingga menyebabkan kedudukan UMNO benar benar goyah. Ini dibuktikan pada 2018 di mana beliau menggunakan pengaruhnya untuk bekerjasama dengan Tun M, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu membentuk satu pakatan bagi menumbangkan BN pada PRU ke 14.

    4. Datuk Seri Mukhriz Mahathir

    Beliau adalah pelopor kepada penubuhan PPBM. Pada ketika beliau dipecat, beliau telah diturunkan dari jawatan Menteri Besar Kedah yang mana beliau adalah antara pemimpin muda UMNO yang berpotensi untuk diketengahkan. Walaupun impak pemecatannya tidak dirasai di peringkat pusat, namun di Kedah, impak pemecatannya memang dirasai. 

    5. Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, Tan Sri Annuar Musa, Tun Faisal dan beberapa yang lain.

    Nama nama ini cukup besar di dalam UMNO. Walaupun ada yang menidakkan pengaruh mereka, hakikatnya, mereka antara nama nama senior di dalam UMNO. Sudah tentu mereka berjaya menghimpunkan pengikut mereka sendiri yang mana pemergian mereka samada di pecat atau digantung keahlian pasti akan membangkitkan kemarahan para pengikut mereka.

    Hari ini, setelah apa yang dilakukan UMNO terhadap pemimpin ini, keadaan UMNO semakin hari semakin lemah. Malah, ini adalah punca kenapa UMNO boleh dianggap membunuh diri mereka sendiri.

    Benar, UMNO mempunyai perlembagaannya sendiri. Ada diantara pemecaatan ini memang perlu dilakukan demi menjaga intergriti UMNO. Namun ada pemecatan dan penggantungan ahli ini langsung tidak boleh diterima akal.

    Alasan yang diberikan adalah tindakan mereka mengkhianati parti. Walhal, kelemahan UMNO hari ini disumbangkan sendiri oleh tindak tanduk Presiden dan orang orangnya. 

    Sudah acapkali di ingatkan bahawa UMNO pasti akan lebih sukar untuk bangkit lagi sekiranya menolak sama sekali demokrasi yang menjadi asas tunjang kekuatan UMNO sebelum ini. Dengan menunda pemilihan serta menafikan hak ahli untuk bertanding semua jawatan tertinggi parti, UMNO dilihat sebagai parti yang menolak sama sekali suburnya demokrasi.

    Malah, tindakan diktator Presiden sendiri yang menyingkirkan pesaingnya demi memastikan tampuk kuasa kekal miliknya seorang menambah lagi kelemahan UMNO. Ini belum lagi memperkatakan tindakan flip flop Presiden sendiri yang mana di depan ahli menafikan sebarang kerjasama namun memastikan wujud kerjasama dan kesepakatan erat beliaudemi meraih kuasa sendiri dengan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

    Ramai dikalangan ahli bawahan UMNO sebenarnya lebih selesa untuk melihat UMNO menjadi pembangkang berintergriti. Bina semula kekuatan UMNO dari bawah dan kembali kepada asas penubuhan UMNO. 

    Benar, sukar untuk menjadi pembangkang. Namun dengan hanya 26 kerusi yang dimiliki, UMNO wajar bermuhasabah diri bukan mengejar kuasa. Hanya dengan cara itu, ahli akan jauh lebih setia dan lebih komited membangunkan semula UMNO dari bersekongkol dengan musuh politik sejak sekian lama sehingga sanggup mengenepikan Muafakat Ummah yang di usahakan oleh Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak.  
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: UMNO YANG "BUNUH" DIRI SENDIRI Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top