Sejujurnya, tidak pernah pihak editor mengira, sudah hari keberapa inkues kematian Allahyarham Adib sudah berlangsung. Bukan mahu mempersoalkan sesi inkues yang sedang berlangsung, tetapi secara jujurnya, penubuhan inkues ini hanyalah membuang masa dan seolah-olah mahu mengalih perhatian rakyat yang ingin tahu apa sebenarnya berlaku pada malam kejadian di Kuil Seri Maha Mariamman.
Sejak dari awal lagi, pihak pembangkang mempersoalkan penubuhan inkues ini. Manakan tidak, beberapa hari selepas Allahyarham Adib di belasah dengan teruk, pihak PDRM telah berjaya memberkas 4 orang suspek yang dikatakan terlibat dalam kejadian berkenaan. Namun, beberapa hari kemudian, kesemua suspek di bebaskan dengan jaminan pihak polis.
Kemudian, apabila Allahyarham Adib sah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang teruk, secara tiba-tiba Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan penubuhan inkues khas untuk menyiasat punca kematian Allahyarham Adib. Seperti dijangka, penubuhan inkues ini mendapat bantahan dari pembangkang dan majoriti rakyat Malaysia.
Masing-masing mula mempersoalkan, apa tujuan sebenar penubuhan inkues ini sedangkan 4 orang suspek yang ditahan sebelum ini, langsung tidak dipanggil. Malah keterangan saksi dan pakar perubatan mengenai kecederaan yang dialami oleh Allahyarham Adib juga agak meragukan.
Sehinggakan ada dua orang pakar yang menjadi saksi dalam inkues ini telah membuat laporan polis. Mereka mendakwa, terdapat beberapa individu telah memaksa mereka memberi keterangan yang bercanggah sama sekali dengan apa yang mereka sendiri saksikan.
Lebih teruk lagi, pihak Pasukan Bomba dan Penyelamat dan peguamnya, Syazlin Mansor telah menarik diri dari meneruskan inkues ini. Di katakan, penarikan diri Syazlin berpunca dari satu arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin.
Dalam satu ulasan yang dibuat Zuraidah sebentar tadi, dia memaklumkan bahawa, kehadiran Peguam Negara sudah cukup untuk membela pasukan Bomba dan Penyelamat. Namun, kenyataan ini pantas mengundang rasa tidak puas hati bagi keluarga Allahyarham Adib. Mereka mempersoalkan, kenapa perlu mengeluarkan arahan sedemikian sedangkan proses inkues masih berlangsung.
Inilah sandiwara yang sedang berlaku yang berselindung di sebalik istilah Rule of Law. Begitu banyak persoalan yang masih bermain di fikiran ramai orang yang mana tidak ada satu pun jawapan dapat diberikan.
Apa yang agak melucukan adalah, andai benar Allahyarham Adib mendapat kecederaan serius pada organ dalamannya akibat dilanggar oleh trak atau van EMERS milik Pasukan Bomba dan Penyelamat seperti yang didakwa oleh seorang pakar, kenapa pihak polis pantas menahan 4 orang suspek yang dikatakan membunuh Allahyarham Adib?
Pada ketika kita mungkin sedang bergembira mahu menyambut kehadiran 1 Syawal kali ini, setiap seorang anggota keluarga Allahyarham Adib masih belum mampu bangkit dari rasa kehilangan seorang anak yang amat bertanggungjawab. Mereka masih bersedih.
Ditambah pula dengan pembelaan kematian anak mereka masih menimbulkan tandatanya, adakah kematian Allahyarham Adib mendapat pembelaan sewajarnya? Adakah kelak, hasil daripada inkues ini, kesalahan diletakkan sepenuhnya kepada punggung van EMERS atau pintu van berkenaan?
Andai inilah jawapan kepada kematian individu yang tidak berdosa yang berada di salah tempat dan salah waktu berkenaan, usah terkejut andai rakyat akan menyatakan satu kenyataan yang amat pahit untuk ditelan oleh setiap seorang pemimpin Pakatan Harapan. Perkataan berkenaan adalah, "UNDANG-UNDANG TELAH MATI DI NEGARA INI".
Pada ketika dan saat inilah, ramai daripada kita terbayang, andai Allahyarham Adib mampu bangun semula dari persemadiannya, apa yang Allahyarham lakukan? Adakah Allahyarham akan tersenyum girang melihat cara mereka yang masih hidup ini memperjuangkan kematiannya?
Al Fatihah buatmu Allahyarham Muhammad Adib
0 comments:
Post a Comment