Tidak seperti 2014 semasa Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kali pertama persidangan Kuala Lumpur Summit (KL Summit) yang menghimpunkan keseua 54 buah negara Islam, persidangan kali ini boleh dianggap dicemari dengan kemungkinan boikot oleh hampir kesemua negara Islam yang menganggotai OIC.
Memang agak mengejutkan disebalik imej Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat lantang menghentam pendudukan Israel di Tebing Barat dan Gaza, seruan untuk KL Summit ini dipandang sepi oleh kuasa-kuasa besar dunia Islam seperti Arab Saudi.
Namun, andai di fahami keadaan sebenar hari ini, pertelingkahan yang wujud antara Kuala Lumpur dan Riyadh ini sebenarnya sudah memasuki fasa yang membimbangkan. Semuanya bermula sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke 14 lalu yang menyaksikan Tun M sendiri dengan lantang mempertikaikan banyak perkara berhubung hubungan baik Datuk Seri Mohd Najib dengan King Salman.
Malah, di peringkat hubungan diplomatik, Arab Saudi sudah beberapa kali dilihat tersinggung dengan kenyataan Tun M. Tidak hairanlah apabila Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan, Arab Saudi dilihat cuba mengasingkan diri dari berhubung secara terus dengan Putrajaya.
Keadaan dilihat semakin tidak menentu apabila ada berita melaporkan, Arab Saudi berkemungkinan tidak lagi menambah koata bilangan jemaah Haji dari Malaysia. Lebih teruk lagi, tahun lalu, menerusi laporan media Arab Saudi, Menteri yang menjaga hal ehwal umat Islam, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa seolah-olah dipinggirkan oleh Arab Saudi semasa penerangan pra musim Haji tahun lalu.
Itu adalah sedikit sorotan bagaimana hubungan baik antara Malaysia dengan Arab Saudi sebelum ini bertukar menjadi keruh akibat kesilapan pentadbiran negara sendiri. Justeru, tidak hairanlah jika Arab Saudi menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk menarik seberapa ramai penyokongnya memulaukan KL Summit.
Mungkin rasanya hanya Tun M sahaja tidak tahu bahawa Arab Saudi adalah penyumbang derma terbesar untuk lebih separuh daripada negara OIC termasuk Pakistan dan Indonesia. Pendapat ini bersandarkan kepada kenyataan Tun M sendiri yang berbunyi ;
"Hanya Arab gila sahaja yang hendak memberi derma sebanyak itu kepada seorang pemimpin".
Secara amnya, kedudukan Arab Saudi amat dipandang tinggi oleh seluruh negara Islam di seluruh dunia. Bagi menjaga prestij dan keutuhan anggota OIC sendiri, Arab Saudi perlu melakukan sesuatu sebelum keutuhan OIC ini dipecahkan dengan gerakan atau apa jua persidangan yang boleh menghancurkan OIC.
Ditambah pula dengan kenyataan dangkal dari Menteri Luar, Saifuddin Abdullah yang mempersoalkan tindakan Arab Saudi enggan mengiktiraf dan mendesak kesemua negara Islam memboikot KL Summit kali ini menambah rencah ketegangan hubungan dua hala yang pernah bersahabat baik ini.
Kesimpulannya, jika bersandarkan kepada apa yang berlaku di KL Summit kali ini, sudah dapat di bayangkan bagaimana keadaannya apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa tahun hadapan. Untuk rekod, Malaysia bakal menganjurkan Persidangan APEC yang dijangka bakal dilangsungkan pada November tahun hadapan.
Mungkin pada ketika itu, andai Pakatan Harapan masih berkuasa, usah terkejut andai persidangan dwi tahunan ini turut di boikot oleh negara pemain ekonomi utama dunia. Malah, jangan terkejut sekiranya Kuala Lumpur turut menerima nasib yang sama seperti Chile.
Jadi, tidak keterlaluan andai menyatakan, KL Summit yang sepatutnya segah namanya, hari ini telah dipermainkan di media sosial sebagai KL Sekelumit.
0 comments:
Post a Comment