My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 22 December 2019

    BERHENTILAH MENIKAM SESAMA SENDIRI



    Tidak ada angin dan ribut, secara tiba-tiba suhu Cameron Highlands yang dingin kembali hangat. Semuanya gara-gara hentaman pedas Ketua Pemuda MIC Pahang, Karthikesan Murugiah yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pahang yang telah meminta peneroka di tanah sekitar Sungai Ichat, Sungai Tiang dan Sungai Bertam mengosongkan tanah berkenaan.

    Daripada kritikan ini, muncul kembali kisah lama yang mana MIC seolah-olah menuntut kembali kerusi Parlimen Cameron Highlands yang kini disandang oleh Ramli Dato' Mohd Nor. Alasannya, kerusi berkenaan di pinjamkan yang mana kerusi itu adalah kerusi tradisi milik MIC. Persoalannya, masih wujudkan istilah kerusi tradisi ini disaat Barisan Nasional kini berada di kerusi pembangkang?

    Sebenarnya, agak tertarik untuk mengulas kenyataan dari Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, V Gunalan hari ini. Ingin ditanya, perlukah kenyataan seumpama ini dikeluarkan di saat penerimaan rakyat terhadap BN telah kembali? Adakah beliau merasakan, dengan menghentam seorang yang telah dipilih secara sah pada 26 Januari lalu, ianya akan membantu kemenangan BN di masa hadapan terutama pada Pilihan Raya Umum ke 15?

    Secara amnya, Barisan Nasional hari ini telah mengaplikasikan cara baru. Sudah tiada lagi istilah kerusi tradisi atau kerusi hak milik kekal mana-mana parti dalam gabungan Barisan Nasional terutama ketika kita sedang menambah mekar Muafakat Nasional.

    Mengambil kira kekalahan BN semasa PRU ke 14 yang lalu, istilah kerusi tradisi ini adalah antara penyumbang kepada kekalahan BN. Ada beberapa Parlimen yang sudah jelak dengan istilah ini. Ada beberapa Parlimen yang mahu kerusi ini ditandingi oleh parti lain bukannya parti yang sama yang langsung tidak membawa apa-apa perubahan ketara di sesebuah Parlimen berkenaan.

    Sama juga dalam kes ini. Walaupun mungkin wujud konsesus yang menyatakan kemungkinan MIC memberi "pinjam" kerusi ini kepada UMNO, namun satu perkara yang perlu difahami oleh semua pihak termauk MIC, kekalnya kerusi Parlimen Cameron Highlands milik BN hari ini adalah kerana usaha bersatu padu memastikan kemenangan calon.

    Rakyat tidak peduli samada kerusi ini dipinjamkan atau tidak. Rakyat tidak peduli samada kerusi ini kerusi tradisi ataupun tidak. Apa yang rakyat peduli adalah kemampuan seseorang calon itu berkhidmat kepada rakyat. Malah sehingga artikel ini dikeluarkan, majoriti rakyat Cameron Highlands sendiri cukup berpuas hati dengan perkhidmatan Ahli Parlimen sedia ada. Kenapa perlu dipersoalkan kemampuannya sedangkan baik MIC mahupun YB Ramli, kedua-duanya menjulang panji yang sama iaitu BN?

    Menyentuh mengenai perjumpaan rahsia yang disebut oleh Gunalan, seperti yang telah diberitahu sebelum ini, kehadiran YB Ramli adalah bertujuan untuk memastikan permohonan projek peringkat Persekutuan berjaya di perolehi. Rasanya, Presiden UMNO dan Pengerusi BN sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerangan keadaan sebenar.

    Apa jua perbincangan di dalam perjumpaan berkenaan, tidak ada siapa yang tahu. Lagipun, kehadiran YB Ramli ke perjumpaan itu bukanlah berlangsung satu dengan satu. Ianya dihadiri kira-kira 17 orang Ahli Parlimen yang lain. Andai Gunalan sendiri menjadi Ahli Parlimen sekarang di saat Pakatan Harapan menguasai kerajaan, beliau juga mungkin terpaksa melakukan perkara yang sama seperti YB Ramli demi membantu rakyat.

    Isunya sekarang adalah kritikan Karthikesan terhadap kerajaan negeri Pahang yang telah meminta 60 pekebun mengosongkan tanah berkenaan. Jika dirujuk kepada kenyataan media YB Ramli semalam, penerokaan tanah di tiga kawasan ini secara jelasnya telah mencemarkan ketiga-tiga sungai ini.

    Malah tindakan ini diambil oleh kerajaan negeri Pahang setelah mendapat titah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah meninjau sendiri pencemaran yang berlaku di ketiga-tiga sungai berkenaan. Dalam hal ini, siapa kerajaan Pahang untuk ingkar pada titah Paduka Sultan yang merupakan Paduka Sultan Pahang pada ketika ini?

    Andai wujud persoalan, kenapa tiada pelan tindakan alternatif bagi membantu para pekebun ini, ianya satu dakwaan yang amat dangkal. Tidak ada sebab dan halangan untuk kesemua pekebun yang terjejas membuat permohonan baru yang mana, rasanya kerajaan negeri Pahang tidak akan sesekali menginaya mana-mana rakyatnya. Sudah tentu, permohonan mereka akan di pertimbangkan.

    Menyentuh mengenai pencapaian, dari apa yang dilihat, dengan kekangan kewangan dari kerajaan Persekutuan, projek-projek pembangunan yang di bawa banyak bergantung kepada Unit Perancangan Ekonomi kerajaan pusat. Itulah sebab kenapa beliau terpaksa menebalkan muka bertemu dengan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali untuk memohon menyegerakan kelulusan projek yang telah di pohon. Beliau bukan pergi untuk melobi dan merancang untuk melompat parti.

    Pembangunan di Parlimen Cameron Highlands lebih berpusat kepada golongan sasar terutama rakyat yang memerlukan. Bantuan khusus ada disediakan walaupun beliau dikhabarkan terpaksa berjimat sehabis daya berikutan kekangan bantuan terus dari kerajaan pusat. Andai Gunalan tidak percaya, beliau boleh sahaja ke Cameron Highlands dan menyaksikan sendiri pembangunan mikro yang telah beliau lakukan sepanjang 11 bulan menjadi Wakil Rakyat di parlimen Cameron Highlands.

    Rasanya, MIC tidak perlu terlalu galak berpolitik sehinggakan apa sahaja kenyataan dari MIC perlu diterbitkan dari portal bebas Thesentral.com. Isunya hari ini, apa yang boleh dilakukan MIC untuk bersama-sama membantu atas nama Muafakat Nasional dalam memajukan Cameron Highlands. Bukan memilih untuk menghentam semberono sehingga membolehkan Pakatan Harapan mendapat isu mudah.

    Usah di lupa, di DUN Tanah Rata ianya kekal milik DAP, parti yang menjadi komponen pemerintah hari ini. Andai MIC terlalu ralit memainkan isu yang tidak sepatutnya dan memilih menyerang kepimpinan yang ada pada hari ini, bukankah rentak mereka sama seperti Pakatan Harapan hari ini? Apalah guna MIC mengangkat tangan bersama UMNO, PAS dan MCA sekiranya istilah Muafakat Nasional itu sendiri gagal difahami oleh Ketua Penerangannya sendiri?

    Tidak perlu dipertikaikan kemenangan penyandang hari ini kerana kemenangannya adalah solid dengan majoriti lebih dari 3000 undi, bukannya sekitar 500 ke 600 undi sahaja. Beliau menerima mandat dari rakyat samada dari Orang Asli mahupun penduduk Cameron Highlands sendiri. Paling utama, kemenangannya juga turut mendapat sokongan kuat dari sekutu baru BN iaitu PAS. Siapa MIC untuk menidakkan fakta ini?

    Gunalan dan beberapa pemimpin MIC perlu bertenang dan melihat senario asas sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana. Apa yang mereka lakukan sejak 48 jam yang lalu langsung tidak membantu kekuatan BN selain dari membawa rebah. Tidak ada istilah kerusi tradisi di sini. Semuanya berpusat dari, siapa yang mampu memberikan perkhidmatan yang baik untuk rakyat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: BERHENTILAH MENIKAM SESAMA SENDIRI Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top