Sudah menjadi satu mitos terkenal di Nusantara, dahulu kala, menurut penceritaan yang diperturunkan, terdapat pertembungan antara seekor harimau jantan dan seekor burung garuda. Pertembungan hebat ini akhirnya dimenangi oleh sang harimau yang akhirnya menjadi Raja di seluruh Nusantara.
Itu kisah mitos yang berlaku di tengah-tengah benua Nusantara ini. Hari ini, pertembungannya masih berlaku cuma yang membezakan, harimau berkenaan menjadi Malaysia dan Garuda adalah Indonesia.
Katakan sahaja apa jenis pertembungan, pastinya pertembungan sengit akan berlaku sekiranya Malaysia bertemu Indonesia. Baik dalam acara sukan, geoekonomi, geopolitik malah pernah tercatat dalam sejarah, Malaysia pernah berhadapan dengan Indonesia sewaktu konfrontasi meletus.
Kali ini, memasuki era 2020, pertembungan masih berlaku dan kali ini menerusi pertembungan geoekonomi. Jika selama ini, Malaysia sentiasa di hadapan dalam sektor ekonomi, kali ini ceritanya sudah berubah.
Jika dahulu, garuda terpaksa akur dengan kehebatan harimau sehingga cedera teruk kepaknya, kali ini, harimau berkenaan sudah terlalu tua untuk bertarung lagi. Indonesia berjaya keluar dari level kelas kedua yang diletakkan keatasnya apabila hari ini menjadi teraju kedua termaju dalam sektor ekonomi di Asia Tenggara, tempat yang sama pernah diduduki Malaysia selama 9 tahun sebelum ini.
Dengan kemudahan ekonomi, kadar cukai yang berpatutan serta sokongan kuat dari kerajaan, Indonesia hari ini menjadi pilihan pelabur antarabangsa yang mencari satu tapak yang kukuh serta stabil di Asia Tenggara. Ditambah pula dengan kemampuan Presiden Jokowi menyelesaikan permasalahan dalaman politiknya, Indonesia telah keluar menjadi playmaker ekonomi.
Buktinya? Lihat bagaimana keyakinan yang ditunjukkan oleh Putera Muhammad Zayed Al Nahyan, Putera kesayangan UAE yang baru-baru ini telah memetrai perjanjian pelaburan besar yang melibatkan 11 perjanjian perdagangan dengan angka sebanyak RM 93.5 bilion.
Malah, menerusi beberapa laporan dari Indonesia, besar kemungkinan modul 1MDB yang dijadikan bahan momokan Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu juga mungkin bakal diwujudkan. Modul operasi dan pengawalan IPP serta memajukan sektor hartanah juga dikatakan mirip seperti 1MDB.
Tidak terhenti setakat itu, banyak dewan pelaburan luar negara juga menjadikan Indonesia sebagai lubuk pelaburan terbaru atas beberapa faktor yang dahulunya milik Malaysia. Faktor berkenaan adalah
1. Tenaga kerja yang murah
2. Dasar kerajaan yang mesra pelabur asing
3. Jaminan keselamatan pelaburan
4. Kadar cukai yang mesra pelabur
5. Kekuatan dan kestabilan politik
Sejujurnya, penulis tumpang gembira dengan pencapaian Indonesia hari ini. Namun disebalik senyuman ini, terus berubah menjadi terlalu sedih melihat keadaan semasa Malaysia. Apa lagi yang boleh dibanggakan setelah kestabilan ekonomi Malaysia berada di tangga keenam Asia Tenggara?
Apa lagi yang boleh dibanggakan setelah Malaysia mencatatkan penurunan perolehan negara serta kemampuan daya saing ekonomi, satu-satunya negara yang mencatatkan penurunan di Asia Tenggara malah tidak keterlaluan, di seluruh benua Asia.
Malaysia kehilangan begitu banyak pelabur berpotensi yang selama ini menjadi antara penyumbang terbesar pendapatan negara. Malaysia kehilangan kestabilan politik apabila kerajaan sendiri begitu sibuk betelagah sesama sendiri samada dari segi pengurusan negara sehinggalah kepada siapa yang layak menjadi Perdana Menteri.
Malaysia kehilangan kepercayaan dunia luar dari sektor keselamatan pelaburan. Terima kasih kepada SPRM yang bertindak seperti murid tadika apabila mendedahkan perbualan telefon yang sepatutnya dirahsiakan antara bekas Perdana Menteri dan orang kedua paling berkuasa di UAE serta ke7 paling berpengaruh di Asia Barat.
Apa lagi yang tinggal pada Malaysia setelah diuruskan oleh mereka yang boleh dianggap terlalu benak menguruskan negara seperti Pakatan Harapan? Kita kehilangan penguasaan ekonomi, kehilangan begitu banyak pelabur, kehilangan deretan aset negara, kehilangan penjagaan keselamatan dan paling teruk, kehilangan kuasa dalam menguruskan kewangan dan ekonomi sendiri.
Jika dahulu, rakyat Malaysia mungkin boleh mendada jika berjalan-jalan di Bogor, Bali, Palembang mahupun Sulawesi. Hari ini, usahkan mahu mengangkat muka, mahu mengaku diri dari Malaysia juga mungkin ada yang sudah malu. Terima kasih Pakatan Harapan sehingga meletakkan ekonomi Malaysia ketahap paling hina sejak kita mengecapi kemerdekaan.
Tahniah Indonesia kerana kalian berjaya menunjukkan kepada Malaysia, walaupun Indonesia agak jauh ketinggalan pada Malaysia, hari ini, berkat kebijaksanaan rakyatnya memilih kerajaan yang stabil, seluruh negara menikmati keuntungannya. Mungkin tidak lama lagi, ada rakyat Malaysia yang sanggup menaiki tongkang menyeberang Selat Melaka, mencari peluang pekerjaan sama sepert yang berlaku sebelum ini terhadap Indonesia.
Apa yang pasti, Harimau tua telah tewas teruk di baham Sang Garuda. Mujur sang Garuda masih mempunyai belas membiarkan Harimau tua ini masih bernyawa untuk melihat sendiri, Sang Garuda terbang tinggi mengejek Harimau Tua yang lemah tidak bermaya.
0 comments:
Post a Comment