Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyambut tahun 2020. tahun yang mana amat dinanti-nantikan oleh rakyat di negara ini. Manakan tidak, bagi generasi X, sejak di bangku sekolah lagi, kita dimomokkan dengan imej Negara Maju. Malah, imej kereta dan keretapi terbang juga kerap dibayangkan oleh generasi ini.
Sebenarnya, Wawasan 2020 ini diasaskan pada Rancangan Malaysia Ke Enam yang menyasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Ianya diasaskan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri (Tun) Mahathir Mohamad dan ianya telah tersemat rapi di setiap benak dan sanubari setiap seorang rakyat Malaysia.
Segalanya nampak lancar dan tersusun walaupun negara berhadapan dengan tiga kali kemelesetan ekonomi global dan beberapa insiden kekacauan politik. Tun M sendiri telah merangka pelan pembangunan strategik jangka panjang bagi merealisasikan impian ini.
Langkah yang sama turut diambil oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan ianya semakin pesat dilaksanakan semasa era pentadbiran Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Abdul Razak. Malah, semasa era kemuncak pentadbiran beliau, KDNK negara diunjurkan pada 5.2% hingga 5.5% menjelang pertengahan tahun 2019.
Namun, manusia hanya merancang tetapi tuhan menentukannya. Sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, segala-galanya nampak kelam. Daripada sebuah pengurusan ekonomi yang mendapat pengiktirafan kelas A oleh beberapa badan pemerhati ekonomi dunia, hari ini Malaysia telah mengambil 2 hingga 3 langkah kebelakang.
Malah, KDNK negara yang pernah diunjurkan pada tahap terbaik, hari ini telah kurang 1 mata. Ianya bersandar kepada laporan tahunan Bank Negara Malaysia yang menjangkakan KDNK negara berada sekitar 4.5% menjelang suku pertama tahun hadapan.
Malah, prestasi Ringgit, pendapatan per kapita rakyat dan graf ekonomi semasa Malaysia juga menunjukkan penurunan yang agak drastik. Ini bukanlah satu petanda baik buat negara di saat kita sedang berusaha membina sebuah negara yang maju dan makmur.
Mari kita lihat satu contoh jelas bagaimana kekacauan politik telah mengganggu gugat perancangan jangka panjang ekonomi sesebuah negara. Negara yang dimaksudkan adalah Libya yang pernah ditadbir oleh Allahyarham Muamar Gaddafi satu ketika dahulu.
Tidak seperti jiran tetangganya yang lain, Libya merupakan sebuah negara Utara Afrika yang sedang menikmati perkembangan ekonomi yang positif setelah Gaddafi sendiri mengubah dasar tutup pintu negara berkenaan.
Setiap seorang rakyatnya menerima laba hasil daripada kekayaan negara itu sendiri. Akan tetapi, kehancuran Libya bermula setelah rakyatnya sendiri enggan bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Mereka termakan hasutan dan fitnah yang mendakwa Gaddafi berpoya-poya dengan wang negara sehingga menyaksikan mereka bangkit memberontak.
Pemberotakan mereka ini mungkin boleh dikaitkan dengan Arab Spring yang pada ketika itu menyaksikan Tunisa dan Syria terjebak dalam kekacauan yang cukup panjang. Akan tetapi, pemberontakan rakyat Libya itu sendiri telah menyaksikan struktur ekonomi yang kukuh telah dihancurkan.
Malah, hampir seluruh negara juga lumpuh serta hancur akibat tangan-tangan rakyatnya sendiri. Akhirnya, Libya sebuah negara paling pesat membangun di Utara Afrika, hancur menyembah bumi. Hari ini, rakyatnya sendiri amat menyesali perbuatan mereka dan ada yang menyatakan, tidak akan mungkin mereka dapat menyaksikan semula Libya diera Allahyarham Muamar Gaddafi.
Bukankah situasi yang berlaku di Libya ini hampir sama dengan apa yang berlaku di negara ini? Cuma yang membezakan adalah, belum ada rakyat Malaysia yang bangkit di jalanan dan memberontak secara kasar bagi menumbangkan rejim Pakatan Harapan hari ini.
Angan-angan dan impian rakyat untuk menikmati kemajuan dan kemakmuran ekonomi menjelang 2020 nampaknya hanya tinggal angan-angan yang tidak berkesudahan. Negara hari ini sedang berada pada tahap yang amat membimbangkan samada dari segi pembangunan ekonomi mahupun kemakmuran masyarakat.
Tidak keterlaluan kiranya andai menyatakan, kerajaan hari ini perlu melakukan sesuatu yang cukup drastik dan melupakan pelbagai kerenah politik yang amat memualkan rakyat. Tidak kiralah apa jua latar belakang politik dalaman Pakatan Harapan, negara ini perlu kembali kelandasan sebenar ekonomi kerana rakyat amat mengharapkan kekuatan ekonomi sebelum ini dapat dipulihkan pada kadar segera.
Hanya berbaki kira-kira 15 hari sahaja lagi menjelang 2020, lakukanlah sesuatu yang mampu mengembalikan maruah negara di persada antarabangsa. Cara berpolitik kuno dan sentiasa berpolitik tidak kira waktu ternyata telah menjahanamkan potensi negara dan sekaligus menyebabkan kehidupan rakyat semakin sengsara.
0 comments:
Post a Comment