Rata-rata rakyat Malaysia hari ini sedang menunggu dengan penuh minat, adakah 10 janji dalam tempoh 100 hari yang terkandung di dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, mampu ditunaikan ataupun tidak. Jika dihitung sejak 9 Mei yang lalu, hanya tinggal 6 hari sahaja lagi untuk kerajaan Pakatan Harapan menunaikan semua 10 janji yang mereka buat.
Namun, dari apa yang diperhatikan sejak 9 Mei yang lalu, boleh dikatakan, semua janji yang mereka tabur untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, tidak mungkin akan mereka laksanakan.
Manakan tidak, sepanjang 94 hari setelah berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 dan membentuk kerajaan, hanya dua sahaja janji yang mereka laksanakan iaitu menyiasat skandal besar dan dalam konteks ini sudah semestinya semua kes melibatkan 1MDB dan SRC International dan mengkaji semula perlaksanaan projek-projek mega yang di lakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.
Janji untuk memansuhkan terus hutang pemiutang PTPTN, menghapuskan hutang para peneroka Felda, meringankan kos sara hidup dan macam-macam lagi seolah-olah langsung tidak dipedulikan. Langsung tidak ada usaha atau perhatian khusus dari kerajaan Pakatan Harapan untuk memenuhi segala janji yang mereka taburkan sebelum ini.
Apa yang kita saksikan sepanjang 94 hari ini adalah, betapa sibuknya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan majoriti menteri yang menganggotai kabinet kerajaan hari ini memperkatakan tentang kes 1MDB. Sehinggakan perdebatan di dalam Dewan Rakyat juga tidak lari dari memperkatakan tentang 1MDB.
Apa yang melucukan adalah,kerajaan hari ini sedaya upaya mahu mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan kes 1MDB dan SRC International. Mereka bertindak seolah-olah beliau telah terbukti bersalah mahkamah sedangkan tidak ada satu pun mahkamah di Malaysia mahupun di seluruh dunia ini telah menjatuhkan hukuman salah terhadap beliau.
Malah, nama LowTiek Jho atau lebih kita kenali sebagai Jho Low juga kerap disebut oleh kerajaan kononnya Jho Low telah menyalah gunakan dana 1MDB. Menariknya, sehingga hari ini, hanya tuduhan sahaja yang berani mereka lemparkan. Tidak ada walau sehelai kertas bukti dan pertuduhan mampu di kemukakan oleh kerajaan Pakatan Harapan bagi mengesahkan Jho Low sememangnya telah menggelapkan wang 1MDB untuk kepentingan peribadinya.
Sehinggakan, kapal layar mewah Equanimity yang dikatakan milik Jho Low juga mahu dijual sedangkan kes melibatkan Datuk Seri Mohd Najib dan 1MDB serta SRC International, masih belum lagi bermula. Malah, pemilikan kapal berkenaan juga masih menimbulkan tandatanya.
Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan yang memerlukanmasa antara 6 hingga 9 bulan untuk mencari siapa pemilik sebenar kapal berkenaan. Persoalannya, jika pemilik sebenar kapal layar berkenaan pun belum di ketahui, apa hak kerajaan untuk menjual kapal berkenaan melainkan, kapal layar mewah berkenaan di miliki oleh mana-mana pemimpin Pakatan Harapan sendiri.
Inilah yang berlaku sepanjang 94 hari membentuk kerajaan. Semuanya berkisar tentang 1MDB, SRC International dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Langsung tiada sebarang usaha atau kecenderungan kerajaan untuk menangani masalah rakyat, tekanan hidup dengan kenaikan harga barang yang semakin tidak terkawal dan keadaan semasa rakyat yang benar-benar tertindas.
Paling teruk, langsung tiada usaha kerajaan Pakatan Harapan mahu memenuhi 10 janji dalam tempoh 100 hari yang mereka kerap laungkan sebelum ini. Mereka kekal berminat menabur deretan fitnah dan mencipta pelbagai spekulasi dari memikirkan hal rakyat. Sehinggakan nasib golongan LGBT yang dilaknat Allah diberi keutamaan dari masalah kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
Hari ini, dengan berbaki kira-kira 6 hari sahaja lagi sebelumtempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan ini berakhir, bolehlah dikatakan bahawa kerajaan ini berdiri berpaksikan deretan kes 1MDB dan SRC International yang dicipta oleh mereka, bukannya mandat rakyat yang mahu melihat perubahan. Ini fakta yang mereka sendiri gagal untuk tepis.
0 comments:
Post a Comment