NASKHAH terbaru Mamat Khalid selepas Zombi Kampung Pisang (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin Jin Mon Pakai Toncit (2013) kurang menyengat kali ini. Entah mengapa, rendisi kali ini terlalu banyak ruang ‘sepi’ yang membuatkan naratif ‘lopong’ sekali gus mengundang pelbagai persoalan.
Tidak dinafikan jenama Hantu Kak Limah sangat kuat dalam rendisi lalu, terutama elemen kritikan sosial yang sangat dekat di hati masyarakat. Jujurnya, Hantu Kak Limah seakan-akan hilang seri biarpun disuntik elemen komedi pada babak tertentu. Selebihnya, banyak menceduk elemen daripada filem lain seperti Nang Nak dan Pendekar Bujang Lapok.
Contohnya babak set rumah Khuda yang terletak di tepi sungai dan babak hantu Jepun bangkit dari kubur. Ada kala Mamat cuba membangkitkan nostalgia dengan mengembalikan beberapa babak yang pernah disuntik dulu seperti shot watak berlari menyelamatkan diri daripada dikejar hantu.
Apa boleh dikatakan, komedi kali ini hanya diserikan watak-watak tertentu seperti Nayan lakonan Ropie, penampilan khas Datuk Seri Vida sebagai jelmaan ayam hutan dan Encik Solihin lakonan Zul Ariffin.
Rasanya, tanpa karakter mereka, penonton hanya disajikan perkara biasa yang sudah lama dihidangkan Mamat suatu ketika dulu. Maaf, watak Hussin (Awie), Yeh Sekupang (Rab), Wani (Sharwani) dan Kak Limah (Delimawati) sekadar melengkapkan jalan cerita dan jenama itu saja.
Watak Khuda (TJ Isa) yang dungu pula biasa-biasa saja sehinggakan penonton boleh mempersoalkan apakah tujuan diwujudkan watak berkenaan jika sekadar itu saja yang dapat dipersembahkan? Mungkin ada yang persoalkan situasi ini berlaku kerana tiada lagi watak-watak terdahulu untuk menceriakan jalan cerita, namun itu bukan isunya.
Isunya adalah Hantu Kak Limah seperti ketandusan idea dan hanya mengguna pakai formula dulu tanpa menyelitkan krikan sosial yang jelas. Biarpun ada elemen kejutan berserta plot ‘twist’ yang tersendiri, Hantu Kak Limah tetap boleh dilayan sebagai karya menghiburkan.
0 comments:
Post a Comment