My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 7 October 2018

    Apa yang Rejim PH Dan Mahathir Mahukan Lagi?



    Sejak berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, seperti yang dijangkakan, kerajaan Pakatan Harapan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat seperti melampiaskan segala dendam yang mereka tanggung selama ini terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, UMNO dan Barisan Nasional.

    Sehingga hari ini, akaun milik UMNO masih kekal dibekukan oleh pihak SPRM dan PDRM tanpa ada kepastian, bilakah akaun bank berkenaan akan dibebaskan. Malah, Datuk Seri Mohd Najib sendiri telah dihadapkan ke mahkamah sebanyak 2 kali dengan jumlah pertuduhannya juga semakin meningkat dari 5 pertuduhan kepada 27 pertuduhan.

    Tidak terhad kepada Datuk Seri Mohd Najib, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansur juga turut dihadapkan kemahkamah sebanyak 2 kali dengan 17 kes disabitkan keatas beliau. Kesemua kes-kes ini telah membabitkan RM 6.5 juta sebagai wang jaminan namun apa yang melucukan, daripada kesemua 42 pertuduhan ini, tidak ada satupun kertas pertuduhan dikemukakan dengan bukti juga turut tidak kelihatan.

    Inilah yang menjadi persoalannya. Apa yang dimahukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir sebenarnya? Jika mahu kuasa, mereka sudah memperolehinya walaupun dengan cara yang begitu jijik iaitu menabur fitnah dan menipu rakyat.

    Sekali imbas, apa yang sedang berlaku ini memang cukup kejam dan tidak berhati perut. Bayangkan, dengan tiada walau sehelaipun kertas pertuduhan, tiada barang bukti dikemukakan di mahkamah, Datuk Seri Mohd Najib dan isteri terpaksa "menyumbangkan" RM 6.5 juta wang mereka kepada pendapatan kerajaan yang umum ketahui, sehingga kini gagal mengembangkan ekonomi negara.

    Dalam satu status yang dimuat naik oleh anakanda Datuk Seri Mohd Najib, Nooryana Najwa Najib semalam, beliau meluahkan rasa terkilannya dengan apa yang berlaku termasuk kesukaran yang dialami oleh adiknya, Ashman untuk membuka akaun bank kerana pihak bank bimbang akan tindakan kejam kerajaan hari ini, Berikut merupakan status penuh yang di ambil dari laman sosial milik beliau.

    Beberapa bulan ini adalah tempoh yang sangat menduga buat kedua ibubapa saya. Selain yuran guaman, wang ikat jamin kini mencecah RM6.5 juta. Kami telah berusaha mendapatkan bantuan dari saudara mara, sebuah tabung yang diwujudkan sebelum ini untuk bapa saya dan dari simpanan mereka sendiri. 

    Bapa saya juga terpaksa mengeluarkan simpanannya di Affin Bank Wangsa Maju yang digunakan untuk menerima gaji, elaun, pencen dan gratuiti hasil penglibatannya dalam perkhidmatan awam. Akaun-akaun lain masih dibekukan kerajaan.

    Apabila bapa saya didakwa untuk kali ketiga dua minggu lalu, adik saya Ashman cuba membuka akaun bank bagi memulakan sebuah tabung bagi menerima sumbangan orang ramai. 

    Bagaimanapun, usahanya ini menemui jalan buntu kerana ada pegawai bank memberitahunya secara peribadi bahawa ada pengurusan bank bimbang dilihat sebagai membantu bapanya dan permohonannya untuk membuka akaun bank ditolak.

    Bukankah kita semua mahukan keadilan yang seadil-adilnya? Seharusnya pihak bank tidak harus tunduk kepada kebimbangan seumpama itu atau tekanan daripada kerajaan atau risau akan dikenakan tindakan dan membenarkan adik saya membuka akaun bagi membantu ibubapa kami.

    Memang menyedihkan apabila melihat kesukaran yang dialami oleh keluarga yang telah banyak memberi sumbangan terhadap rakyat sepanjang Allahyarham Tun Abdul Razak sehinggalah ke zaman Datuk Seri Mohd Najib. Siapa dapat menyangkal bahawa setiap seorang lapisan masyarakat hari ini menerima manfaat yang disumbangkan oleh kerajaan yang diterajui oleh mereka.

    Hari ini, mereka menerima layanan seperti penjenayah paling dikehendaki oleh dunia. Nasib Datuk Seri Mohd Najib dan Datin Seri Rosmah kini boleh diibaratkan seperti nasib yang menimpa bekas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda Marcos. Itulah yang cuba dilakukan oleh kerajaan hari ini tanpa ada menunjukkan sisi kemanusiaan mereka terhadap bekas pemimpin negara ini.

    Inilah yang telah menimbulkan persoalan. Apa yang rejim kerajaan Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan dari Datuk Seri Mohd Najib dan isteri? Terlalu paranoidkah kerajaan dan Tun M sekarang terhadap kedua pasangan suami isteri ini? Mereka juga manusia biasa dan andai layanan kejam ini berterusan, tidak mustahil, manusia selembut beliau akan bertindak juga akhirnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Apa yang Rejim PH Dan Mahathir Mahukan Lagi? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top