My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday, 30 September 2018

    Sekeping Hati Dan Jiwa Besar Yang Tidak Bersimfoni Lagi



    Sebelum Pilihan Raya Umum ke 14, begitu banyak cerita negatif yang menyelubungi nama Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak. Pelbagai fitnah menyelubungi beliau sehinggalah setelah beliau berjaya ditumbangkan, imej beliau terus diaibkan oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan mengheret beliau ke mahkamah atas tuduhan yang langsung tidak dapat di buktikan.

    Bukan alang kepalang dugaan yang beliau terima. Bukan mudah untuk seorang manusia mengharungi dugaan sebegini. Namun beliau tetap bersabar dan masih kekal istiqomah. Beliau tidak merungut sehinggalah semalam di mana akhirnya beliau secara terbuka menyuarakan apa yang terpendam di dalam hati beliau.

    Di dalam satu status yang dimuat naik semasa beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO semalam, sewaktu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan beliau, beliau akhirnya mengeluarkan serba sedikit apa yang terpendam jauh di hati beliau.

    Berikut merupakan kenyataan penuh beliau yang diambil dari laman sosial Facebook milik beliau.

    Bismillahirrahmannirrahim…
    Atas nama Allah Yang Maha Suci Lagi Maha Penyayang. Dan Dia-lah Sang Pencipta Yang Mengetahui akan gerak-geri serta rahsia setiap detik kejadian di dunia ini. Ucapan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW suri tauladan menjadi ikutan Ummah sepanjang zaman.

    Sebetulnya saya berasa terpanggil untuk mencoret serba sedikit curahan hati sebagai lumrah seorang diri ini yang juga insan biasa. Sememangnya lagi, untuk menulis sebegini, berbeza dengan penulisan saya sebelum sebelum ini.

    Pabila bersangkut hal perasaan hati sebagai seorang Insani dan Hamba Allah sebagai mana saudara-saudara jua, saya menjadi tidak tahu dari mana hendak memulakan coretan ini kerana apa yang saya luahkan ini datangnya dari nurani yang tidak terhijab.

    Paling pentingnya, lukisan rasa hati yang saya sampaikan ini, adalah apa yang terbuku dari lelubuk jiwa dan hati yang paling dalam, kerana tempoh lima bulan yang lepas adalah satu episod yang tiada pernah terlintas difikiran dan terbayang dek mata akan terjadinya seperti ini.

    Bak kata pepatah lama, seperti geroda yang datang menyerang, segalanya menjadi kucar kacir dan tidak keruan hala. Ternyata inilah dugaan Allah SWT yang paling besar diuji keatas saya dan rakan-rakan yang berjuang Bersama-sama sebelum ini.

    Namun sebagai seorang Islam, saya tetap menerima semua ini sebagai takdir Allah Yang Mengatasi segala-galanya. Jelasnya setiap sesuatu itu ada dalam genggaman rahsia Tuhan yang Maha Mengetahui. Pastinya seperti dalam firman Allah SWT, setiap kesusahan itu teriring bersamanya kebaikan yang Allah SWT tetapkan.

    Jika ingin diringkaskan, andai selama berbulan bulan ini saya lebih banyak menulis dan mengungkap hal-hal negara, rasa kepiluan menjelma tanpa diundang-undang apabila tibanya Perhimpunan Agung UMNO yang telah sekian lama berdarah dan bersebati dengan saya sejak awal usia 20-an pabila muka berkecimpung dalam dunia politik tanah air.

    Meskipun apa yang saya coretkan ini bukan lah bersifat nostalgia atau keluh-keluhan, akan tetapi, hakikat tetap hakikat kerana apa yang saya lalui tidak mungkin dapat diselami dan difahami oleh ramai.

    Merujuk kepada Perhimpunan Agung UMNO ke-72 yang sedang berlangsung kini, sebagai seorang bekas Pimpinan Negara dan seorang bekas Perdana Menteri serta khususnya Mantan Presiden UMNO ke-6, adalah amat berbohong jika tidak ada secalit perasaan terluka dan terguris di hati kecil ini.

    Justeru, sesekali saya merenung, sepanjang lebih 4 dekad saya terlibat di dalam politik tanah air sehingga menduduki jawatan Perdana Menteri selama hampir satu dekad, juga dalam konteks PAU ini, sebagai seorang bekas Presiden UMNO. Segala perjalanan dan pengalaman lebih 40 tahun berasa seperti baru hari kelmarin.

    Benarlah, seperti yang dipesan oleh Allahyarham Ayahanda saya dahulu, tiada bakti lebih mulia daripada berkhidmat kepada rakyat… dan balasan baik atas pengabdian kepada rakyat itu tidak selalunya terbalas di dunia ini. Yang penting setiapnya sudah Saya perbuat sehabes baik cumanya kini bak diterlupakan sekelip mata.

    Maka kata-kata yang saya nukilkan disini bukan lah satu bentuk kekecewaan atau putus asa. Jauh sekali dari maksud itu. Namun, sebagai seorang Insani, saya tidak dapat lari dari kekangan kelemahan yang wujud di sana sini sepanjang tempoh pemerintahan saya.Pokoknya, sebagai manusia biasa itu adalah lumrah.
    Saya berani bersumpah atas nama Allah Yang Maha Kaya, Maha Berkuasa bahawa, sepanjang tempoh yang dikurniakan Allah semasa berkesempatan menjadi pucuk pimpinan negara, saya bersyukur atas rahmat yang dikurniakan itu untuk mencurahkan yang terbaik kepada rakyat, ketahuilah, sejujurnya tiap satu apa yang saya usahakan siang dan malam bekerja begitu keras adalah demi kasih saya kepada rakyat dan telah saya cuba dengan terbaik…

    Dan ramai pasti yang tidak dapat menafikan segala usaha yang dilakukan itu telahpun membuah dan menampakkan hasilnya bagi dinikmati dan dikecapi rakyat sekarang ini. Jelasnya, bak kata Buya Hamka Ulama Tersohor Nusantara … “Inilah dia putaran hidup, yang tidak selalunya sentiasa manis bahkan pertengahan antara pahit dan manis.’’ Alangkah benar kata-kata itu.

    Maka itu, saya akur dan redha dengan ketetapan Allah SWT.

    Atas falsafah hakiki kehidupan tersebut dan resmi jatuh bangun manusia… apa yang saya ingin sebutkan secara langsung dari benak sanu bari saya, perasaan manusiawi dan jiwa insani ini berasa hancur luluh bagai kaca terhempas di batu dek kerana pabila berlakunya episod malang ini.

    Seolah-olah segala jasa bakti yang telah saya hulurkan selama ini demi Rakyat dan Negara tercinta bagai mudahnya terpadam dan sirna bak ombak yang melanda menghilangkan tulisan-tulisan di pasir pantai.

    Atas segalanya, saya redha dan cuba terus memperkuatkan diri untuk menerima dugaan Allah SWT ini yang saya anggap paling besar pernah saya hadapi. Apapun saya yakin, Allah itu pasti menghitung setiap amal, walau sebesar zarah sekalipun. Janji Allah itu pasti.

    Berbalik kepada Perhimpunan UMNO kali ini, yang dikhabarkan berselubung kesuraman serta kehadiran yang tidak seperti dulu-dulu, kemeriahan juga tidak bersenandung lagi. Barangkali inilah waktu untuk bukan sahaja diri saya akan tetapi pada semua untuk membuat satu Muhasabah dan Pengislahan tuntas di dalam usia UMNO yang memasuki Tujuh Dekad.

    Dek kerana itu, saya tetap berasa bangga di dalam kekangan keadaan dan situasi semasa para perwakilan UMNO nyatanya tidak luntur semangat perjuangan… Itulah petandanya parti UMNO ini parti ber-KAROMAH bukan lah secalang-calang parti tapi ditubuhkan atas dasar yang murni dan diberkahi.

    Hal mustahak ini, perlu difahami oleh semua orang UMNO. Akhir kata, saya menyeru kita jangan sesekali berputus asa terhadap parti yang berdaulat ini, parti yang telah sekian lama berjasa kepada orang Melayu dan ketertinggian Syiar Islam, serta terus memuliakan Raja-Raja Melayu, tertinta dalam dakwat emas sejarah bahawa parti inilah bukan yang lain.

    Allah pasti akan terus Memberi Petunjuk dan HidayahNya terhadap semua ini. Terutamanya kepada lapisan kepimpinan muda, perjuangan menjunjung Islam dan maruah bangsa WAJIB diteruskan sehingga tetesan darah yang terakhir. Beringatlah selalu bahawa Inilah semulia-mulia jihad dalam erti kata sebenar.

    Sesungguhnya, andalah semua Penyambung Lidah Umat Melayu dan Islam. …Nan Dititik Nan Dieja …Nan Ditelek Nan Ditimang …UMNO Selamanya Tetap Bersemi Dijiwa …Nan Sedikit Tidak Dilupa …Nan Sebaris Takan Hilang Kepada Allah SWT kita berserah dan kepada Nya jualah kita memohon pertolongan.

    Hidup UMNO!
    Hidup UMNO!
    Hidup UMNO!

    Kepada semua Perwakilan diucap selamat bersidang.

    Tulisan
    Yang Amat Berhormat
    Datuk Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sekeping Hati Dan Jiwa Besar Yang Tidak Bersimfoni Lagi Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top