Pihak berkuasa Filipina mengosongkan lebih banyak kawasan semalam dan memberi amaran supaya 5.2 juta orang tidak keluar rumah menjelang ketibaan Taufan Super Mangkhut yang dijangka membawa hujan lebat dan mengakibatkan kerosakan infrastruktur serta tanaman.
Taufan itu dijangka membadai pantai utara Filipina awal hari ini dengan tiupan angin maksimum selaju 255 kilometer sejam, sama seperti ketika ia melanda rantau Micronesia awal minggu ini.
Lebih 9,000 orang dipindahkan ke pusat penempatan sementara ketika Taufan Mangkhut yang digelar sebagai Ompong oleh penduduk tempatan, bergerak menuju ke Cagayan dan Isabela, dua wilayah pengeluar beras serta jagung di Filipina.
Ribut itu diramal tiba di daratan pada waktu subuh hari ini. Ahli-ahli kaji cuaca memberi amaran bahawa paras air laut dijangka meningkat setinggi 6 meter di kawasan perkampungan tepi pantai di sepanjang laluan taufan tersebut.
Barisan kedua dan ketiga pasukan penyelamat sedang dipersiapkan sekiranya kumpulan pasukan penyelamat pertama berdepan masalah, manakala pegawai-pegawai bencana berkata, puluhan ribu penduduk mungkin terpaksa berpindah.
“Kita perlu mengikut nasihat pihak berkuasa. Jangan keluar rumah,” kata penasihat Presiden, Francis Tolentino yang merupakan penyelaras utama tindak balas bencana.
Terdahulu, ibu kota Filipina, Manila dan lebih 36 wilayah di utara serta tengah negara itu berada di bawah amaran ribut. Sekolah dan pejabat kerajaan di lebih 600 kawasan ditutup, manakala pasukan tentera, perubatan dan kecemasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Sementara itu, pasukan pengawal pantai berkata, kira-kira 5,000 penumpang di beberapa pelabuhan di Filipina terkandas. Taufan Super Mangkhut dijangka bergerak ke selatan China dan Vietnam selepas membadai Filipina.
0 comments:
Post a Comment