Tidak mudah melakonkan watak wanita Iban, apatah lagi dipaksa menghafal bahasa pertuturan daripada etnik Sarawak itu. Pada masa sama, pelakon Ain Edruce juga perlu menzahirkan emosi menerusi watak bernama Wanda dalam drama Kenyalang I’m In Love itu.
“Sejujurnya bukan mudah untuk berlakon dan bertutur dalam dialek Sarawak apatah lagi bahasa Iban. Saya juga kena memasukkan emosi ketika bertutur demi menjayakan watak Wanda,” ujar Ain yang turut memberitahu terpaksa berlakon di rumah panjang Sarawak dan menjalani penggambaran di sana selama sebulan.
Meskipun bapanya berasal dari Sarawak, Ain bagaimanapun mengakui tidak menggunakan dialek Bumi Kenyalang itu dalam percakapan hariannya.
“Ya, memang ayah saya dilahirkan di Sarawak, namun kami tidak bercakap dalam loghat Sarawak di rumah, sementelahan ibu berasal dari Terengganu. Cuma, kalau balik beraya di Sarawak dan berkumpul dengan saudara mara di sana, baru dialek itu keluar,” kata pelakon yang dilahirkan di Terengganu itu.
Ironinya, Ain bersyukur dapat berlakon dalam drama Kenyalang I’m In Love kerana secara tidak langsung dia dapat memperbaiki dialek Sarawak. “Alhamdulillah, selepas berlakon drama ini, banyak perkataan baharu yang saya tahu. Saya bersyukur dan berterima kasih ditawarkan berlakon dalam drama ini,” ujarnya mengenai drama arahan Feroz Kader itu.
Menganggap drama berkenaan lain daripada drama yang sering dipaparkan di skrin televisyen, kata Ain, drama Kenyalang I’m In Love turut memaparkan kehidupan etnik di negeri berkenaan seperti menyumpit dan tinggal di rumah panjang. Pada masa sama, drama itu juga mengisahkan tentang dua hati yang terpisah akibat desakan hidup.
“Sebenarnya, Kenyalang I’m In Love merupakan drama pertama lakonan saya. Memang agak kekok pada mulanya, namun mujur pengarah banyak memberi tunjuk ajar untuk mendalami watak.
“Saya juga berterima kasih kepada hero gandingan saya iaitu Hafeez Mikail yang memberikan lakonan berkesan serta tunjuk ajar kepada pelakon baharu seperti saya,” ujarnya mengenai drama yang turut dibintangi oleh Syaffiq Sahli, Intan Najuwa, Anding Indrawani, Ady Hamiz, May May, Zack Kool, Zila Bakarin, Manan Sulaiman, Aida Khalida dan Shima Anuar itu.
Kenyalang I’m In Love mengisahkan tentang AJ (Hafeez) dan Wanda (Ain) yang berkawan baik sejak di bangku sekolah, tetapi hubungan mereka terputus selepas AJ berpindah ke Kuala Lumpur. AJ kemudian bekerja sebagai Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat.
Malangnya, dia diberhentikan kerja kerana disabotaj oleh rakan sekerjanya, Khairul. Malah, Khairul juga telah merampas kekasih AJ iaitu Sutra (Intan Najuwa). Sepanjang dua bulan menganggur, AJ memutuskan untuk balik ke Sarawak.
Pertemuan yang tidak diduga antara AJ dan Wanda telah merapatkan kembali hubungan mereka. Malangnya, AJ dipaksa pulang ke Kuala Lumpur oleh ibunya selepas Sutra mendakwa dia mengandungkan anak AJ.
Bagaimanakah hubungan antara AJ, Wanda dan Sutra? Bersiaran selama 13 episod, drama terbitan Frontrow Pictures Sdn. Bhd. itu mula bersiaran pada 26 Ogos lalu di slot Dahlia TV3, setiap Sabtu dan Ahad, pukul 6.58 petang.
0 comments:
Post a Comment