My Blog List

Translate

  • PANAS

    Sunday 16 September 2018

    Dua Ahli PKR Direman Enam Hari



    DUA ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Kedah direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 21 September bagi membantu siasatan pembabitan mereka dalam politik wang untuk pemilihan pemimpin cabang parti itu, minggu depan. 

    Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 46 dan 48 tahun yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan parti itu dikeluarkan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Sumber berkata, suspek dipercayai meminta wang suapan berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan supaya namanya yang sudah didaftarkan untuk pemilihan parti kekal dalam sistem pemilihan, sekali gus melayakkannya untuk bertanding.

    Suspek sebelum ini memaklumkan kepada lelaki terbabit bahawa namanya dan beberapa individu lain akan digugurkan daripada senarai nama calon, namun boleh dikekalkan sekiranya membayar suapan berkenaan.

    Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Mahkamah Alor Setar pada 9.45 pagi hari ini dengan diiringi dua pegawai SPRM Kedah sebelum keluar dari kamar mahkamah pada 11 pagi.

    Suspek berusia 48 tahun ditahan pada 12.20 tengah hari semalam di sebuah restoran di Alor Setar sementara suspek kedua berusia 46 tahun ditahan pada 3.25 petang di Plaza Tol Pendang di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

    Berikutan penahanan itu, SPRM merampas wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kedua-dua suspek. Pemilihan PKR peringkat negeri dijangka berlangsung pada 22 September ini sebelum diikuti peringkat nasional pada keesokan harinya.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, ketika dihubungi, mengesahkan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Dua Ahli PKR Direman Enam Hari Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top