BMW Malaysia memperkenalkan BMW 6 Series Gran Turismo (GT) yang pertama di pasaran negara ini sebagai tanda aras segmen kenderaan mewah. Dengan bertemakan keluasan, keselesaan dan kefungsian yang tiada tandingannya, 630i GT menambah satu lagi dimensi dan penawaran baharu dalam portfolio kenderaan BMW.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Harald Hoelzl, berkata BMW 6 Series GT menawarkan ciri pemanduan terbaik dan premium yang memiliki karakter tersendiri. “Ciri unik generasi kenderaan yang terdahulu kini diperhalusi dan dibawa ke tahap baharu dalam BMW 6 Series GT.
“Ini dapat dilihat melalui keanggunan jentera yang serba sporty selain teknologi canggih, sistem bantuan dan kawalan jitu,” katanya. Menurut Hoelzl, model ini bakal menyuntik nafas baharu bagi kelas kenderaan eksekutif mewah seakan-akan jentera Gran Turismo, keselesaan pemanduan seperti sedan kelas mewah dan tarikan estetika coupe elegan bersaiz besar.
BMW 6 Series GT Pertama menerima Anugerah ‘EuroCar Body’ yang berprestij pada 2017 bagi reka bentuk badan serta ruang lebih mantap, dicapai melalui inovasi seperti diperkenalkan teknologi BMW EfficientLightweight.
Ruang dalaman menawarkan ruang lebih lapang di samping posisi tempat duduk dinaikkan, memberi kelebihan pemandangan bagi setiap penumpang termasuk kelegaan kaki yang luas untuk penumpang belakang. Bahagian kokpit dihiasi dengan butang kawalan ergonomik dan paparan serta sistem kawalan operasi, navigasi, komunikasi dan hiburan.
Skrin resolusi tinggi bersaiz 10.25 inci, paparan ‘Head-Up’ BMW generasi baharu, stereng ‘M Sport’, papan pemuka ‘Sensatec Leather’ dan ‘Fineline Ridge’ menggunakan bahan ‘Fine Wood’ dengan kemasan krom menyempurnakan keterampilan dalaman . Sistem bunyi keliling Harman Kardon memberi ketenangan terhadap pemandu dan penumpang.
Pintu but berseksyen tunggal membolehkan ia dikawal dengan kuasa elektrik selain fungsi ‘Comfort Access’ membolehkan operasi tanpa penggunaan tangan dan boleh diakses melalui pergerakan kaki. Ruang bagasi pula ditingkatkan 100 liter kepada 610 liter berbanding model terdahulu dan boleh diperbesarkan sehingga 1,800 liter.
Ciri luaran pula lebih dinamik apabila garisan beralun pada segenap sudut dengan lensa lampu depan LED ‘Adaptive’ mengunjur ke gril hadapan kidney BMW yang ikonik. Padanan rim dwiwarna 20 inci menambahkan lagi ciri sporty jentera.
Bahagian belakang menampilkan elemen rekaan eksklusif apabila tingkap belakang melambangkan ciri coupe dan bersambung bersama lampu belakang LED berbentuk tiga dimensi.
Spoiler belakang boleh diaktifkan secara automatik apabila kenderaan mencecah kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) selain suspensi ‘Dynamic Damper Control’ dan suspensi udara pada setiap gandar menjadikan pengendalian lebih dinamik.
Di bawah bonet, enjin empat silinder 2.0L TwinPower Turbo digandingkan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan menawarkan 258 kuasa kuda (hp) manakala daya kilas setinggi 400Nm. Ini membolehkan jentera ini mencapai kelajuan maksimum sehingga 250km/j sementara pecutan dari kedudukan pegun hingga 100km/j hanya mengambil masa 6.3 saat.
Ciri keselamatan ditawarkan termasuklah kamera stereo, radar dan sensor ultrasonik, Amaran Keluar Laluan, Amaran Penukaran Laluan, Amaran Perlanggaran dan Pejalan Kaki dengan Mitigasi Perlanggaran dalam Kawasan Bandar, Amaran Perentasan Trafik dan Info Had Laju.
Berharga RM450,000 (tanpa insurans). BMW 6 Series GT ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu putih, biru, hitam dan kelabu.
0 comments:
Post a Comment