Tidak kiralah apa jua agama anutan manusia hari ini, sekiranya melakukan sebarang kesalahan dan ingin kembali kepangkal jalan, bertaubatlah kepada tuhan. Di dalam Islam, taubat Nasuha adalah taubat yang paling tinggi marhamnya dengan sipelaku berjanji sepenuh hati untuk tidak mengulangi kesalahannya lagi.
Namun begitu, apa yang berlaku di Malaysia sejak 10 Mei yang lalu, memang cukup luar biasa. Segala-galanya cuba dipermudahkan termasuk berlaku banyak pertukaran dalam adat resam dan kehidupan seseorang manusia. Ini termasuklah cara bagi menyucikan dosa.
Caranya mudah, tinggalkan UMNO dan sertai mana-mana parti kerajaan seperti PPBM, DAP, PKR mahupun PAN. Insya Allah segala dosa atau apa jua pertuduhan melibatkan rasuah mahupun salah guna kuasa akan terhapus dengan sendirinya.
Bukan kali pertama perkara ini berlaku sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan. Lihat sahaja bagaimana kes melibatkan Lim Guan Eng dalam kes salah guna kuasa dalam kes pemilikan sebuah rumah banglo di jalan Pinhorn dan salah guna kuasa kes Taman Manggis.
Kesemua kes melibatkannya digugurkan serta merta tanpa ada sebarang perbicaraan. Bukankah itu jalan mudah untuk menyucikan dosa-dosa silam? Mari kita renung pula bagaimana pula kes melibatkan Felda dan calon bagi Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson, Tan Sri Isa Samad.
Siapa sangka, sebulan sebelum ini, SPRM dalam satu kenyataan media berkata, terlalu banyak kes melibatkan Felda yang diuruskan oleh Tan Sri isa yang sedang dalam siasatan SPRM. Namun, dalam satu kenyataan semalam, Pengarah SPRM, Datuk Seri Shukri Abdul berkata, tiada sebarang kes melibatkan Tan Sri Isa yang akan didakwa.
Menariknya, jika ada mana-mana pemimpin dari parti lawan yang memilih untuk melawan, mereka akan diheret ke mahkamah tanpa mempedulikan samada kes yang dibawa itu boleh disabitkan ataupun tidak.
Lihat sahaja nasib yang menimpa Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang mana mereka memilih untuk menentang apa jua pertuduhan yang disabitkan kepada mereka. Bukankah ini salah satu bentuk jalan ringkas penyucian dosa kepada mereka-mereka yang disasarkan?
Jadi, seandainya ada mana-mana individu yang merasakan mereka berdosa dan memerlukan pengampunan di dunia dan bebas dari sebarang pertuduhan dari SPRM mahupun PDRM, mungkin Pakatan Harapan mempunyai jawapannya.
0 comments:
Post a Comment