“DIA tak mahu orang tahu dirinya sakit dan lebih selesa mendiamkan diri. Hanya beberapa rakan terdekat yang tahu situasi kesihatannya," kata bekas Pengarah Pembangunan Strategik dan Timbalan Pengarah Kandungan Program, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jack Nadarajah mengenai pelawak dan pelakon popular, Accapan, 63, yang meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang, hari ini.
Jack berkata, dia mengetahui keadaan kesihatan Accapan yang merosot tetapi terpaksa merahsiakannya atas permintaan Accapan sendiri. Accapan yang mula dikenali menerusi sitkom Santan Berlada pada 1980-an meninggal dunia di rumahnya di Taman Puchong Utama, Puchong, jam 2.43 pagi.
Accapan atau nama sebenarnya R Samynathan yang popular dalam kalangan peminat kaum Melayu menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga. Mendiang yang berasal dari Parit Buntar, Perak meninggalkan seorang isteri, Yogeswari Subramaniam, 53, dan tiga orang anak iaitu Vikneshwaran, 31; Dhineshwaran, 28; dan Yhuveneshwary, 24.
Jack berkata, dia mengenali Accapan sejak bergelar penerbit program hiburan RTM pada 1980-an. “Pada mulanya hubungan kami terbatas sebagai penerbit dan artis, tapi lama-kelamaan kami akrab seperti adik-beradik kerana sudah kenal lebih dari 30 tahun.
“Apabila dia tiada, saya sangat sedih kerana dia seorang anak seni yang rajin. Dia juga bergelar dramatis dan pelakon apabila membintangi pelbagai filem. Dia adalah pelakon yang dikenali semua kaum daripada kanak-kanak sehingga orang dewasa," katanya.
Majlis penghormatan terakhir yang berlangsung di kediamannya yang bermula jam 3 petang dihadiri ramai kenalan termasuk rakan artis seperti Farouk Hussain dan Yassin Yahya.
Selain aktif berlakon drama dan sitkom, Accapan banyak membintangi filem terutamanya filem komedi antaranya Adik, OK (Orang Kampung Otak Kimia), Mira Edora, Rimba Malam, Sahabat, Ghazal Untuk Rabiah, Lagi-Lagi Senario dan Iskandar. Filem terakhir lakonannya ialah Mamak Cupcake pada 2014.
0 comments:
Post a Comment