HASRAT tiga sekawan mencari buah asam kelubi di kawasan hutan di Mukah, semalam berakhir tragedi apabila mereka sesat sebelum dua daripada mereka ditemui meninggal dunia, hari ini.
Mangsa, Stanley Saka, 21, dan rakannya yang hanya dikenali sebagai Chuat, 24, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR). Seorang lagi, Lawrence Jainal, 40, ditemui selamat, namun dalam keadaan tidak bermaya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui pasukan SAR, pada 11.15 pagi. "Stanley ditemui di bawah pokok dalam keadaan tidak sedarkan diri. Lawrence dijumpai di kawasan tanah lapang pada jarak 60 meter dari Stanley dan dalam keadaan lemah.
"Mangsa ketiga pula iaitu Chuat berjaya ditemui kira-kira 50 meter dari Lawrence, juga dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bagaimanapun, Stanley dan Chuat disahkan meninggal di tempat kejadian,"katanya.
Hii berkata, mayat diserahkan kepada pihak polis, manakala mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan susulan. “Operasi ditamatkan pada jam 2.30 petang," katanya. Beliau berkata, punca kematian masih dalam siasatan polis.
Sebelum ini, tiga sekawan itu dilaporkan hilang selepas memasuki hutan berdekatan Kampung Bendanga, untuk mencari buah asam kelubi, pada 7 pagi semalam. Susulan itu, ahli keluarga melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
0 comments:
Post a Comment