My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 13 September 2018

    Liku Perjalanan Politik Tun M Dan Anwar Hampir Sama...



    Dalam sejarah politik Malaysia, tidak kira umur dan apa jua fahaman politik, pastinya kita akan mengenali perseteruan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlarutan hampir 20 tahun. Rasanya, inilah perseteruan politik paling lama dalam sejarah politik Malaysia.

    Namun begitu, jika kita membaca rentetan sejarah melibatkan Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedarkah kita bahawa perjalanan politik mereka hampir sama?

    Umum mengetahui bahawa Tun Dr Mahathir pernah dipecat dari Majlis Tertinggi UMNO dan seterusnya keahliannya juga dilucutkan kerana kelancangan beliau mengkritik dan menghentam Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman yang didakwanya sebagai gagal membendung berlakunya insiden berdarah 13 Mei 1969 menerusi surat terbukanya.

    Akibat daripada kritikan berkenaan, beliau telah dipecat dari UMNO. Mungkin, kelancangan beliau ini berpunca dari tewasnya beliau di tangan Allahyarham Haji Yusuf Rawa dari PAS setelah beliau sendiri dalam kempennya secara terbuka menyatakan, beliau tidak memerlukan undi kaum Cina untuk memangi kerusi Parlimen Kota Setar.

    Menurut sejarah, sepanjang beliau dipecat, beliau menggunakan pentas ceramah PAS untuk terus bergiat aktif di dalam politik dan masih kekal mengkritik secara terbuka Almarhum Tunku Abdul Rahman. Sehinggalah pada satu ketika, PAS dilihat bakal menarik beliau menyertai parti berkenaan sebelum Allahyarham Tun Abdul Razak menarik semula beliau menyertai UMNO pada 1972.

    Pada 1973, beliau dilantik sebagai Senator sebelum berjaya memenangi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada 1974 tanpa ditentang oleh sesiapa pun.

    Perjalanan beliau untuk menjadi Perdana Menteri keempat hanya mengambil masa kira-kira 9 tahun setelah beliau diterima masuk semula kedalam UMNO. Pada ketika berkenaan, Allahyarham Tun Razak amat menyedari potensi yang ada pada Tun Dr Mahathir dan beliau pada ketika itu pastinya enggan kehilangan seorang ahli yang berkebolehan untuk berpidato dengan cukup baik.

    Itu adalah kisah Tun Dr Mahathir. Sekarang, mari kita lihat perjalanan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim pula.

    Siapa yang tidak kenal dengan nama Anwar Ibrahim di masa mudanya. Beliau adalah seorang anak muda yang cukup berani bersuara dan telah menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971 dan menjadi salah seorang ahli jawatankuasa tertinggi ABIM.

    Sepanjang beliau bergerak aktif menerusi beberapa persatuan yang disertai atau beliau sendiri tubuhkan, banyak parti politik memandang dengan penuh minat perkembangan beliau yang disifatkan sebagai anak muda berani dan mempunyai potensi jauh seadainya menyertai politik. Justeru, tidak hairanlah, PAS secara terbuka pernah mempelawa beliau menyertai parti berkenaan pada 1981 semasa beliau mengetuai ABIM.

    Namun, beliau sekali lagi mengejutkan ahli ABIM apabila menyertai UMNO pada 1982 dan bermulalah pendakian pantas beliau di dalam UMNO hasil dari didikan terus dari Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Jika Tun Dr Mahathir mengambil masa 4 tahun sahaja untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar pula mengambil masa 11 tahun untuk diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan mengenepikan begitu ramai pemimpin yang jauh lebih senior di dalam UMNO.

    Apa yang menariknya, langkah beliau untuk menjadi Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri tersekat di tangan orang yang mendidiknya sendiri di dalam politik. Di sinilah titik pemisah antara kerjaya politik Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar yang mana kedua-duanya mendaki hirarki politik UMNO dengan begitu pantas sekali.

    Paling utama, kedua-dua mereka adalah ahli UMNO yang mana kedua-dua mereka menikmati detik kejayaan dalam karier mereka menerusi UMNO sebelum kedua-dua mereka memilih membentuk parti politik masing-masing dan kekal berseteru sehinggalah tahun lalu.

    Melihat kepada sejarah bagaimana Tun Dr Mahathir mendaki hirarki politiknya dengan pantas, bukan perkara yang menghairankan andai Tun Dr Mahathir sendiri tahu bagaimana untuk menyekat langkah Datuk Seri Anwar sejak 1998 sehingga kini.

    Pengalaman yang beliau raih sepanjang dipecat, diterima semula menjadi ahli UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri sudah cukup untuk mengajar dan memusnahkan impian Datuk Seri Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

    Hari ini, setelah kosongnya kerusi Parlimen Port Dickson, adalah sesuatu yang cukup menarik untuk disaksikan, adakah kali ini Tun Dr Mahathir akhirnya beralah dengan impian "mati" Datuk Seri Anwar untuk menjadi Perdana Menteri atau beliau masih kekal dengan keputusannya untuk menyekat perjalan Datuk Seri Anwar dengan apa cara sekalipun seperti yang beliau pernah ucapkan satu ketika dahulu.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Liku Perjalanan Politik Tun M Dan Anwar Hampir Sama... Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top