My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 17 September 2018

    Sindrom 'Vampire'



    Seorang kenalan wanita berusia 30-an sering mengenakan baju panas biarpun di tengah matahari terik. Menurutnya, ia bertujuan melindungi kulitnya daripada cahaya matahari kerana dia mempunyai masalah alahan kulit. 

    Sinaran matahari boleh menyebabkan kulitnya kemerah-merahan dan ada ketikanya jika terdedah terlalu lama menyebabkan masalah lain seperti gelembung air seolah-olah melecur.

    Tambahnya, dia menyedari masalah berkenaan makin teruk ketika di sekolah menengah menyebabkan mengelak melakukan aktiviti luar mahupun pergi bercuti dengan keluarga. Bahagian muka yang terdedah kepada matahari lebih cenderung mengalami masalah kusam mahupun kesan terbakar terutama di pipi dan bawah dagu.

    Menariknya gejala berkenaan turut dikenali dengan sindrom 'vampire' atau drakula di Eropah kerana merujuk kepada karakter makhluk legenda dari negara Barat itu yang terbakar apabila terdedah kepada cahaya matahari. 

    Menurut Pakar Kulit Pusat Perubatan Pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (PPPUKM) Dr Norazira Md Nor, gejala terbabit merujuk kepada penyakit kulit yang jarang tetapi boleh berlaku kepada sebilangan pesakit di Malaysia. DR Norazira.

    “Kalau diterangkan secara umum atau kumpulan besar, masalah kulit ini dikategorikan dalam fotodermatitis iaitu gejala atau radang kulit akibat terdedah kepada sinar ultra lembayung (UV) yang ada dalam cahaya matahari.

    “Biasanya sinar lembayung ungu itu amat tinggi sekitar jam 9 pagi hingga 4 petang. Dalam tempoh ini, individu yang mempunyai penyakit kulit akan mengalami gejala radang kulit seperti kemerah-merahan, gelembung, melepuh dan sebagainya.

    “Namun gejala dihidapi mereka berbeza mengikut tahap atau kategori penyakit fotodermatitis. Sebaiknya mereka perlu menjalani diagnosis mengesan punca sebenar penyakit berkenaan.

    "Kes setiap pesakit fotodermatitis mungkin berbeza mengikut kategori seperti xeroderma pigmentosis (XP), metaksis mahupun lupus. Meskipun ada segelintir tanda gejala hampir sama tetapi punca dan rawatan kulit berkenaan berbeza mengikut jenis sakit kulit.

    “Sebagai contoh kes lupus yang disedari pada penyakit seperti SLE. Lupus yang berlaku pada kulit menyebabkan mereka tidak boleh terdedah kepada matahari.

    “Keadaan ini berpunca daripada masalah sistem imun. Ini merujuk kepada rantaian asid deoksiriboneukleik (DNA) khusus atau genetik tertentu diwarisi daripada ibu bapa yang sensitif terhadap sinar UV. Pada tahap ekstrem, ada juga pesakit sensitif kepada cahaya termasuk sinar lampu, skrin komputer, televisyen dan sebagainya.

    “Punca lain ialah kesan sampingan ubat-ubatan atau penggunaan bahan kimia tertentu menyebabkan gejala itu timbul lewat berbanding punca lain. Sebagai contoh penggunaan ubat tahan sakit seperti voltaran dan pendopil statin yang diambil pesakit darah tinggi.

    “Selain dadah sintetik yang digunakan untuk mengubati penyakit lain, ada segelintir ramuan semula jadi boleh memberi kesan lebih buruk apabila diletakkan pada kulit dan kemudian terdedah kepada cahaya matahari. 

    “Antara ramuan tropika terbabit ialah limau atau lemon. Kalau dilumur pada muka kemudian kulit terdedah pada cahaya matahari, ia memberi kesan buruk kepada kesihatan anggota itu,” katanya.

    Mengenai langkah penjagaan kata Dr Norazira beberapa langkah pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan kesan akibat fotodermatitis antaranya:

    1. Mengenakan pakaian lebih tebal dan berwarna cerah Pesakit mengalami fotodermatitis disaran mengenakan pakaian lebih tebal untuk mengelak cahaya langsung kepada kulit. Elak pakaian warna gelap terutama hitam kerana ia menyerap cahaya.

    2. Gunakan krim penghalang matahari Pesakit perlu memakai krim penghalang cahaya matahari mempunyai SPF dan PVA tinggi untuk menghalang sinar matahari UVA dan UVB yang berbahaya bagi kulit. Lagi tinggi nilai SPF lagi baik perlindungan diberikan.

    Ini merujuk kepada tempoh untuk kulit terbakar lebih panjang berbanding tidak mengenakan krim terbabit. Ada juga ditawarkan dalam produk berbentuk pil. Sapukan krim tabir suria sekurang-kurangnya 30 minit sebelum terdedah kepada cahaya matahari dan disapu setiap dua hingga tiga jam bergantung kepada aktiviti.

    Ia perlu disapu lebih kerap untuk aktiviti air (berenang) atau lebih kerap berpeluh.

    3. Elak terdedah kepada cahaya matahari terik Sinar sekitar jam 9 pagi dan 4 petang mempunyai UV yang tinggi dan berbahaya kepada pesakit fotodermatitis. Sebaik-baiknya berlindung di kawasan redup.

    4. Kurangkan penggunaan pemakaian bahan tropika atau dadah yang tingkatkan kesan kepada penyakit Elak melumur lemon atau penggunaan produk mengandungi bahan terbabit. Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi untuk pengambilan ubat tertentu.

    5. Rawatan menggunakan salap penyejuk kortikosteroid tempatan (betamethasone) sebagai krim, losyen atau gel untuk luka kecil sementara NSAID (diclofenak) antiseptik basah bagi luka lebih besar.

    Diagnosis

    Ada dua saringan yang boleh dilakukan untuk mengesan masalah fotodermatitis iaitu:

    • ‘Photopatch’ ialah saringan mengesan kawasan atau jenis gejala mengikut kumpulan pesakit.
    • Ujian darah untuk ujian imun dan penyakit lain boleh mewujudkan gejala sama. Gejala
    • Bermula beberapa jam selepas pendedahan dan tanda timbul selepas 12 hingga 24 jam; biasanya pulih dalam masa seminggu
    • Pada mulanya rasa panas dan sakit, kemudian kemerahan dan bengkak
    • Lepuh boleh berlaku dalam kes selaran matahari yang teruk dan jika kawasan lebih besar terjejas, gejala umum (contohnya, demam) mungkin timbul.
    • Sakit kulit melepuh teruk (bersamaan dengan kesan lepuh terbakar tahap dua) yang boleh menjejaskan lebih 10 peratus daripada permukaan kulit badan dewasa (atau lebih lima peratus pada kanak-kanak) boleh menyebabkan kebocoran kapilari dan akhirnya membawa kepada kejutan hipovolemik.

    Hipovolemik ialah kehilangan cairan tubuh atau darah yang menyebabkan jantung tidak mampu mengepam darah ke seluruh tubuh sehingga sistem organ terganggu. Ia dikategorikan sebagai keadaan kecemasan kerana seluruh organ gagal berfungsi dan lebih parah lagi, boleh mengakibatkan kematian organ.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sindrom 'Vampire' Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top