KANCAH saingan bola sepak tempatan dijangka lebih rancak selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia menganjurkan Liga Bawah 17 (B-17) tahun.
Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang menjelaskan cadangan itu masih dalam perbincangan dengan maklumat lanjut mengenainya hanya akan dapat diketahui sekurang-kurangnya sebulan lagi.
“Perkara itu masih dalam perbincangan kerana ia masih perlu diperhalusi memandangkan pelaksanaannya membabitkan kerjasama dengan pelbagai pihak. Bagaimanapun, cadangan ini dilihat bertepatan dengan fokus FAM untuk membesarkan lagi pilihan pemain kita di peringkat akar umbi selepas kita sudah menganjurkan dua saingan peringkat bawah umur ketika ini.
“Ini adalah proses untuk FAM melengkapkan liga di bawah umur yang mana ia akan menjadi asas kepada pembangunan pemain belia di negara ini,” katanya.
Buat masa ini, FAM melaksanakan dua saingan bawah umur iaitu Piala Presiden yang membabitkan pemain berusia B-21 dan Piala Belia membabitkan saingan B-19.
Bagaimanapun, cadangan penganjuran Liga B-17 dilihat akan ‘mengganggu’ saingan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang ketika ini menyediakan landasan buat pemain berusia bawah 14 tahun dan 17 tahun.
Mengulas mengenai situasi itu, Stuart menjelaskan pihaknya akan turut mengadakan perbincangan dengan KPM berhubung penganjuran liga yang dikendalikan mereka ketika ini. “Kita akan mencari langkah kerjasama yang baik dan melaksanakan saingan liga yang dapat mencapai objektif bersama,” katanya.
0 comments:
Post a Comment