Horas!!! Itulah ungkapan pertama yang didengar sebaik menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit di Danau Toba, Sumatera Utara, Indonesia sejurus melangkah turun dari pesawat. Horas adalah ucapan salam khusus bagi masyarakat Batak.
Ia biasanya diungkapkan ketika berjumpa atau mahu berpisah, selain turut digunakan sebagai pembuka dan penutup kata dalam setiap acara dianjurkan kaum Batak tanpa mengira fahaman agama pengucapnya.
Jadi, apabila seseorang mengucapkan salam ‘horas!’ kepada anda, maka sahutlah dengan mengucapkan ‘horas’ juga kerana ia secara tidak langsung membangkitkan suasana bersahabat dan bersemangat.
Itulah ilmu pertama yang saya pelajari sebaik melangkah turun dari pesawat Malindo Air dari Subang Skypark Kuala Lumpur dengan disambut oleh kru dan petugas lapangan terbang yang baru dibuka dan beroperasi kira-kira setahun lalu berhampiran pekan Siborong-borong dalam daerah atau regensi Tapanuli Utara.
Penerbangan itu hanya mengambil masa kira-kira satu jam merentasi Selat Melaka membawa penumpang menyaksikan pemandangan danau yang mengasyikkan sejurus sebelum mendarat di pinggir tasik terbesar di Indonesia yang dipercayai terbentuk akibat letusan gunung berapi Toba kira-kira 75,000 tahun lalu.
Danau Toba juga dianggap tasik terbesar di Asia dengan keluasan 100 kilometer panjang dan kira-kira 30 kilometer lebar. Ia terletak di tengah bahagian utara Pulau Sumatera dengan ketinggian 505 meter atau 1,657 kaki daripada aras laut.
Daerah yang lebih dikenali Tanah Batak itu dihuni oleh enam suku Batak iaitu Toba, Karo, Simalungun, Pakpak, Angkola dan Mandailing. Kumpulan etnik berkenaan berasal daripada satu rumpun yang menuturkan bahasa sama iaitu bahasa Batak selain berkongsi adat resam serta budaya.
Menurut sejarah, kaum Batak, mempunyai tamadun yang tinggi dan dihormati suku bangsa, di samping sangat kuat berpegang pada adat dan budaya. Ini dapat dilihat daripada cara hidup seharian, bahasa, seni bina dan salasilah kekeluargaan yang terjaga rapi sejak ribuan tahun lalu.
Selain ungkapan ‘horas’ sebagai ucapan salam atau selamat yang eksklusif bagi kaum Batak, etnik Austronesia itu juga menampilkan seni bina rumah berbentuk seakan-akan sebuah perahu di bahagian atapnya untuk menyerlahkan lagi identiti mereka.
Mereka juga amat percaya kepada mitos asal usul tasik dan kewujudan dua jenis ikan di dalam danau itu iaitu ikan mas dan ikan batak yang kononnya berasal daripada dua budak perempuan. Mereka dilahirkan sebagai wanita cantik yang asalnya juga seekor ikan tetapi menjelma menjadi manusia dan berkahwin dengan seorang pemuda Batak.
Pada satu hari pemuda yang memperisterikan wanita jelmaan itu melanggar sumpah dengan isterinya untuk tidak mendedahkan asal usul ibu kanak-kanak berkenaan daripada seekor ikan. Akibat terlalu marah kerana kedua-dua anaknya menghabiskan hidangan tengah hari yang dimasak untuknya, dia terlepas kata, melanggar sumpahnya sendiri.
Tanah Toba terdiri daripada sebuah tasik raksasa yang di tengah-tengahnya terbentuk sebuah pulau iaitu Pulau Samosir. Ia dihuni oleh kira-kira 8.5 juta penduduk merangkumi keenam-enam suku kaum Batak yang kebanyakannya menganut agama Kristian.
Tanah besar dan pulau itu dihubungkan melalui jambatan dan kapal atau feri yang menjadi nadi pengangkutan utama. Ia juga menjadi simbol identiti kaum Batak seperti yang diabadikan pada bahagian atap dan bumbung rumah mereka.
Bagi pelancong, kunjungan ke Danau Toba sebenarnya lebih tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu adat dan budaya kaum Batak, keindahan alam semula jadi dan sejarah termasuk mitos terbentuknya tasik itu. Bagi penggemar kulinari, daerah ini bukan tempat yang sesuai buat mereka kerana makanan di sini tidak seenak hidangan Minangkabau di Kota Padang atau masakan tradisional di Pulau Jawa.
Namun, pencinta alam dan pengkaji sejarah pasti menyukai Tanah Toba kerana pelbagai legenda termasuk Raja Batak dan kisah kanibal (manusia memakan daging manusia lain) di sebalik keindahan gunung-ganang dan kawasan tanah tinggi yang dingin dan nyaman itu.
Kisah ‘orang makan orang’ dikatakan memang berlaku di Tanah Batak, namun menurut cerita disampaikan penduduk tempatan, ia adalah kes terpencil yang berlaku pada awal era kedatangan penjajah di Indonesia, khususnya Sumatera.
Kaum Batak yang terlalu marah dengan tindakan seorang pembesar asing yang cuba memecahbelahkan perpaduan mereka dan merampas tanah serta hasil kekayaan bumi Tanah Batak membunuh penjajah terbabit dan memotong seluruh badan lelaki itu sebelum memakannya.
Sebenarnya kunjungan ke Danau Toba tidak perlu mengambil masa terlalu lama, beberapa hari sudah memadai. Pelancong biasanya dibawa melihat keindahan alam semula jadi dengan menyusuri laluan darat melalui pekan Siborong-borong di barat daya Danau Toba menghala ke Dolok Sanggul yang terkenal dengan industri penanaman di kawasan tanah tinggi terutama kopi Arabica.
Di tengah-tengah perjalanan ke Pulau Samosir, kita dihidangkan dengan pemandangan cantik dari Menara Pandang Tele lebih 304.8 meter (1,000 kaki) dari aras laut.
Suasana dingin di lereng gunung itu menggigit hingga ke tulang dan di sini pelancong pasti tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan berlatarbelakangkan Gunung Toba dan pemandangan Danau Toba yang terletak di kaki gunung.
Perjalanan dari Silangit ke Pulau Samosir melewati laluan di lereng bukit dan kawasan pertanian tanah tinggi mengambil masa empat hingga lima jam. Walaupun agak jauh, kita tidak berasa bosan kerana pemandangan indah diselang-selikan suasana perkampungan Batak yang bersih dan harmoni.
Biasanya pada hari pertama pelancong dibawa menginap di Pulau Samosir yang turut menjadi tumpuan pelancong dari Eropah, Jepun dan China. Hotel penginapan kami tidak jauh dari pantai berpasir putih di daerah Tuk-Tuk, di timur laut pulau gunung berapi itu.
Pelancong juga berpeluang melawat Muzium Batak untuk mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah dan adat resam masyarakatnya. Usah lupa menziarahi Huta atau Kampung Siallagan yang menempatkan Batu Kursi Raja Siallagan atau lebih dikenali sebagai Batu Persidangan di daerah Ambarita. Batu Kursi itu adalah kamar perbicaraan dan hukuman ke atas pesalah pada zaman dahulu.
Perjalanan dari Pulau Samosir ke Parapat di sebelah timur Danau Toba mengambil masa sekitar 40 minit menggunakan feri atau bot. Di sinilah peluang pelancong menikmati keindahan tasik yang berombak seakan-akan berada di tengah lautan.
Kisah kejayaan anak Batak mengharumkan nama bangsa dan negaranya dapat disaksikan di Muzium Batak TB Silalahi di Balige, ibu kota bagi regensi Toba Samosir.
TB Silalahi adalah seorang pegawai Tentera Nasional Indonesia (TNI) berpangkat Leftenan Jeneral yang berasal dari sebuah keluarga petani miskin, namun berjaya mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa kerana ketekunannya dalam setiap bidang yang diceburi.
Penjelajahan pelancong di Tanah Batak biasanya berakhir di Balige yang turut terkenal dengan Pantai Bul Bul dan makam pahlawan yang juga salah seorang Raja Batak, Sisingamangaraja XII. Pekan Balige terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit yang bermakna angkasa raya dalam bahasa Batak.
Horas!!!
0 comments:
Post a Comment