Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kompetitif pertamanya bersama Juventus malam tadi dengan meledak dua jaringan bagi memastikan kemenangan 2-1 ke atas Sassuolo sekali gus menjamin kemenangan keempat daripada perlawanan awal Serie A musim ini.
Namun perlawanan di Turin itu tercemar dengan kontroversi apabila pemain sayap Juventus, Douglas Costa diarah keluar padang pada lewat permainan selepas rakaman kamera mendapati dia meludah pemain Sassuolo, Federico Di Francesco.
Pemenang lima kali Ballon d’Or, Ronaldo, yang hadir selepas berpindah dengan harga 100 juta euro (RM481 juta) dari Real Madrid, mudah menembusi gawang gol pada minit ke-50 sebelum menambah gol kedua 15 minit kemudian.
Dua gol sumbangan pemain berusia 33 tahun itu membolehkan juara Itali itu berada di puncak liga dengan kelebihan tiga mata berbanding seteru terdekat, Napoli. “Saya gembira. Saya berusaha gigih dan tahu jaringan akan tiba,” kata Ronaldo.
“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu dan membolehkan saya menyesuaikan diri dengan bola sepak Itali.” Ronaldo - pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Real Madrid - turut mempamerkan rasa kecewanya apabila terlepas dua lagi peluang berharga.
“Inilah bola sepak. Apa yang penting pasukan meraih kemenangan. Saya sedikit tertekan dengan semua percakapan selepas perpindahan dari Real Madrid dan tidak menjaringkan gol, jadi ada banyak harapan tapi saya berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana memberikan sokongan.”
Penyerang Senegal, Khouma Babacar menanduk masuk gol sagu hati buat Sassuolo pada masa kecederaan tatkala pasukan dari Modena itu meraih kekalahan pertama mereka bagi musim ini.
Sementara itu, Costa memohon maaf susulan kad merah diterimanya kerana menyiku dan meludah Di Francesco - pemain berusia 24 tahun dan anak jurulatih AS Roma, Eusebio Di Francesco. “Saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong Juventus kerana kesalahan pada perlawanan hari ini,” tulis Costa dalam akaun Instagram.
“Saya juga memohon maaf kepada rakan sepasukan yang sentiasa berada di sisi saya dalam apa juga keadaan. Ia sesuatu yang buruk, saya sedar mengenainya dan memohon maaf kepada semua atas kesalahan itu. Saya ingin menjelaskan kelakuan terpencil ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan apa yang sudah saya lakukan sepanjang karier saya.”
Juventus satu-satunya pasukan yang masih belum kalah selepas Napoli berjaya bangkit daripada kekalahan pertama dengan menewaskan Fiorentina 1-0 Sabtu lalu menjelang kunjungan Liga Juara-Juara ke Red Star Belgrade, awal pagi Khamis ini.
0 comments:
Post a Comment