My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 28 September 2018

    #PAU2018 : Ubati Kecederaan UMNO Terlebih Dahulu Sebelum Kembali Bertarung



    Sejarah telah mencatatkan bahawa Datuk Laksamana Hang Tuah merupakan pahlawan Melayu yang amat terbilang. Persahabatannya dengan 4 orang lagi temannya telah dikhianati dengan panah-panah fitnah sehinggakan beliau sanggup menikam sahabat yang paling rapat dengannya sendiri, Datuk Laksamana Hang Jebat.

    Hikayat sejarah juga mencatatkan bahawa Hang Tuah sukar untuk ditumbangkan. Malah, sukar untuk kita membaca satu pertarungan melibatkan Hang Tuah, gerombolan tenteranya mengalami kekalahan yang memeritkan. Hang Tuah hanya tewas dari segi emosi apabila terpaksa mengorbankan Hang Jebat hanya kerana titah Sultan.

    Namun, adakah Hang Tuah kekal meratapi kehilangan Hang Jebat dari tangannya sendiri? Sudah tentu tidak. Dia kembali bangkit dan menjalankan tugasnya seperti biasa. Cuma, Paduka Sultan mengambil masa beberapa bulan sebelum mengarahkan Hang Tuah kembali kemedan pertempuran setelah kecederaan emosinya berjaya diubati.

    Inilah yang sedang berlaku di dalam UMNO hari ini. Kesakitan dan kecederaan yang dialai oleh UMNO bukan alang kepalang sakitnya setelah tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14 yag lalu. Walaupun sudah 4 bulan berlalu, namun kesakitannya sehingga kini masih terasa.

    Disaat UMNO benar-benar sakit sebegini, asakan dari pihak lawannya tidak pernah berhenti. Sehinggakan, beberapa pemimpin utama UMNO bertindak meninggalkan perjuangan parti hanya kerana tidak tertahan lagi dengan asakan demi asakan yang dilakukan oleh lawannya.

    Malah, tidak kurang juga, ada pihak yang cuba mengheret semula UMNO ke kancah pertempuran terutama sekali kancah Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson bagi menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tidakkah mereka sedar bahawa UMNO hari ini berada pada kekecewaan yang amat dalam serta kecederaan yang cukup parah?

    Seharusnya, dalam keadaan sebegini, UMNO perlu dirawat terlebih dahulu. UMNO perlu mencari ubat kepada kekecewaan dan kecederaan yang dialaminya. Paling utama, UMNO perlu mencari penawar kepada virus-virus dan parasit-parasit yang menyebabkan UMNO berada pada kekecewaan dan kecederaan parah sebegini.

    UMNO perlu mencari mekanisma terbaik untuk kembali bangkit setelah terlantar lemah ditikam dengan pelbagai tikaman samada dari luar mahupun dalam UMNO itu sendiri.

    Benar, ianya bukan mudah namun bukan mustahil untuk dilakukan. UMNO masih mempunyai ahli yang masih setia bertahan. UMNO masih mempunyai barisan kepimpinan yang masih kekal setia berkhidmat untuk parti dan rakyat. Paling utama, UMNO masih kekal relevan dihatiorang-orang Melayu.

    Apa yang perlu dilakukan oleh UMNO hari ini adalah kembali kepada roh asal UMNO yang sebelum ini ramai mendakwa, UMNO sudah tersasar dari perjuangan tulen. UMNO perlu menoleh sebentar kebelakang untuk mempelajari, dimana salah dan silap parti ini sehingga UMNO menerima kecelakaan yang bukan alang kepalang sakitnya.

    Percayalah, seandainya UMNO mampu mencari titik kelemahannya, kebangkitan yang diharapkan oleh ahli UMNO yang tinggal ini mampu direalisasikan. Namun, sebelum semua ini mahu dilakukan, sembuhkan dulu kedukaan dan keperitan kecederaan yang dialami terlebih dahulu.

    Tidak guna bergantung harap kepada pahlawan yang luka teruk. Tidak ada faedahnya menyuruh pahlawan ini kembali kekancah pertempuran sekiranya rentak dan irama bunga-bunga pertarungannya amat sumbang. 

    Kepada ahli-ahli UMNO, bantulah parti ini untuk kembali pulih. Benar, pecahnya cermin, walau digam semula ianya tidak akan sama. Namun, andai dilakukan dengan cermat, ianya masih boleh digunakan dengan baik.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: #PAU2018 : Ubati Kecederaan UMNO Terlebih Dahulu Sebelum Kembali Bertarung Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top