Jika anda seorang pengamal politik atau mengikut rapat perkembangan politik Malaysia, sudah semestinya perseteruan antara PAS dan UMNO akan bermain diingatan. Selain daripada perseteruan politik antara UMNO dan DAP, PAS adalah salah satu perseteruan yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan walaupun kedua-dua parti ini berteraskan Melayu dan Islam.
Bukan tidak ada usaha untuk mencari titik persamaan antara dua buah parti kaum Melayu dan bergama Islam terbesar di negara ini. Namun, kesemuanya menemui jalan buntu setelah keegoan mengatasi segala-galanya.
Malah, pernah satu ketika, PAS pernah melabelkan UMNO sebagai parti liberal dan kafir hanya kerana tidak mengikut cara politik PAS. Paling diingati adalah bagaimana PAS lebih rela menjalinkan kerjasama politik atas nama tahaluf siyasi dengan DAP yang selama ini mereka tentang habis-habisan dari mencari titik penyatuan dengan UMNO yang sudah terbukti bertauhidkan yang Satu.
Hubungan yang akhirnya terlerai pada tahun 2015 ini juga masih gagal menemukan satu titik penyatuan antara UMNO dan PAS walaupun bibit-bibit berkenaan sudah kelihatan. Ini kerana, buat pertama kalinya, Presiden PAS dan Presiden UMNO boleh duduk sepentas dan memperjuangkan perkara yang sama terutamanya sekali jika hal ehwal Melayu dan Islam disentuh.
Perkembangan ini nyata memberi satu sinar yang begitu lama dicari. Namun benarlah seperti kata penganalisis politik, bukan mudah untuk ahli PAS yang selama ini didoktrin bahawa UMNO adalah musuh sejati PAS, melupakan doktrin berkenaan dan akur dengan penyatuan antara PAS dan UMNO.
Pada ketika ramai yang menjangkakan akan ada kerjasama politik antara PAS dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu, nyata, harapan berkenaan terlalu meleset. PAS kekas dengan gabungannya dengan Parti Ikatan Malaysia dan membentuk Gagasan Sejahtera dan bertanding di 160 buah kerusi yang turut sama di tandingi oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Rasanya, tidak perlulah untuk diulas apa yang berlaku pada kempen Pilihan Raya Umum berkenaan. Apa yang pasti, perseteruan ini nyata telah merugikan kaum Melayu dan agama Islam itu sendiri. PAS masih kekal berada di blok pembangkang dan kali ini, UMNO juga turut menyertai PAS di blok pembangkang.
Mungkin ada hikmah disebalik semua ini apabila buat pertama kalinya PAS dan UMNO bergabung di dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis. Begitu juga gabungan ini wujud sewaktu Pilihan Raya Keciil DUN Sri Setia yang menyaksikan, kedua-dua jentera saling bantu membantu antara satu sama lain.
Paling mencuri tumpuan adalah bagaimana tanpa disangka-sangka, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Muktamar PAS di Terengganu hari ini. Ini adalah julung-julung kali buat seorang Presiden UMNO hadir ke muktamar PAS yang sebelum ini cuba dielakkan oleh bekas Perdana Menteri yang juga Perdana Menteri hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun begitu, agak sedikit malang buat usaha penyatuan ini apabila Dewan Pemuda PAS nampaknya masih kekal dengan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan UMNO walau apa jua nama bentuk penyatuan ini. Bagi mereka, mereka lebih selesa memperkasakan Gagasan Sejahtera dengan UMNO wajib mengikut syarat yang dikemukakan PAS sebelum mendapat kerjasama dari parti berkenaan.
Mungkin, kita boleh berasa optimis bahawa masih ada sinar buat UMNO dan PAS bergabung jua akhirnya atas nama Melayu dan Islam. Namun, semua pihak harus menerima hakikat bahawa bukan mudah untuk meyakinkan akar umbi kedua-dua parti yang bermusuhan sejak berpuluh tahun yang lalu, kembali bersatu atas dasar ukhwah.
Jalan yang dirintis oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menyaksikan penyatuan ummah menerusi politik nampaknya masih berliku. Kini, terpulanglah buat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS untuk meyakinkan ahli masing-masing, betapa pentingnya penyatuan ini.
Andai ini mampu dilakukan dengan baik, bukan satu perkara yang mengejutkan andai UMNO dan PAS akan dapat diijab kabulkan semula setelah begitu lama terpisah disebabkan tidak mempunyai persefahaman.
0 comments:
Post a Comment