Untuk kali keempat dalam sejarah politik Pengerusi PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyandang bagi sesebuah kerusi Parlimen terpaksa melepaskan jawatannya hanya untuk memberi laluan kepada beliau bertanding dan seterusnya menjadi Ahli Parlimen, di luar waktu Pilihan Raya Umum ke 14.
Kali ini, kerusi P132, Port Dickson pula menjadi korban terbaru dalam laluannya kembali ke Putrajaya.
Kelmarin, Datuk Danyal Balagopal Abdullah telah melepaskan jawatannya selaku Ahli Parlimen kerusi ini bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. Ianya sekaligus menutup terus pelbagai spekulasi yang timbul, kemanakah hala tuju karier politik Datuk Seri Anwar sebaik sahaja di bebaskan dan menerima pengampunan penuh pada bulan Mei yang lalu.
Apa yang menjadi persoalannya sekarang adalah, selamatkah kerusi Parlimen Port Dickson ini untuk dimenangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim? Adakah beliau mampu memecah tradisi "Permatang Pauh" buat kali pertama dalam sejarah karier politiknya?
Persoalannya ini sebenarnya timbul apabila melihat kepada keadaan semasa hari ini. Umum sedia maklum bahawa antara cita-cita teragung Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah memastikan dirinya di lantik sebagai Perdana Menteri. Hasrat beliau memang begitu hampir dicapai pada tahun 1998 namun disebabkan krisis politik beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, hasratnya terpadam begitu sahaja.
Beliau disabitkan kes liwat yang pertama yang menyaksikan beliau dijatuhi hukuman penjara 5 tahun. Pada masa yang sama, beliau menubuhkan Parti Adil sebelum nama parti berkenaan ditukar kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hhanya untuk memastikan hasrat dan laluannya untuk mencapai impian dan cita-citanya tercapai.
Hari ini, setelah dua kali beliau dipenjarakan, hasratnya kembali menyala dan kali ini disifatkan oleh pemerhati politik, sudah terlalu hampir untuk beliau merealisasikan impiannya. Namun, sekali lagi beliau terpaksa berhadapan dengan orang yang sama yang pernah menjadi batu penghalang untuknya meraih impiannya kira-kira 20 tahun yang lalu.
Mungkin, pada mata kasar, kita tidak begitu nampak perseteruan antara beliau dengan Tun Dr Mahathir yang hari ini menjadi Perdana Menteri sekali lagi setelah bersara selama 15 tahun. Namun, jika diteliti realiti hubungan antara dua orang musuh sejati ini, bukan satu perkara yang mengejutkan sekiranya Datuk Seri Anwar bakal menerima nasib yang hampir sama seperti tahun 1998.
Dalam beberapa kenyataan sebelum ini, Tun Dr Mahathir nampaknya masih keberatan untuk membenarkan Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri. Malah, dalam kenyataan terbarunya, beliau memberitahu, sukar untuknya mencari penggantinya selepas tempoh dua tahun berakhir. Ini mungkin isyarat jelas bahawa laluan Datuk Seri Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, masih jauh dari cengkaman.
Ditambah pula dengan suara-suara sumbang dari dalam PKR sendiri seperti bantahan terbuka Zuraidah Kamaruddin, Latheefa Koya, Tian Chua dan beberapa orang pemimpin PKR lagi yang secara terang-terangan mempertikaikan cara Datuk Danyal melepaskan jawatan hanya untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar bertanding di kerusi ini.
Mengambil kira pelbagai faktor luaran seperti permusuhan panjang beliau dengan Tun Dr Mahathir, ketidak tentuan hubungan antara beliau dengan kerajaan pusat serta bantahan terbuka ahli dan pemimpin PKR sendiri, tidak begitu mengejutkan sekiranya buat pertama kali dalam sejarah penglibatan Datuk Seri ANwar di dalam politik, beliau tewas di kerusi ini.
Keadaan semasa hari ini menyaksikan, beliau tidak lagi berada di kedudukan selesa. Tambahan pula, rakan sekutu lamanya, DAP hari ini lebih selesa meletakkan sokongan mereka terhadap Tun Dr Mahathir setelah melalui beberapa Pilihan Raya Umum yang mengecewakan di waktu Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengetuainya.
Untuk berlaku adil, mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memenangi kerusi ini atas faktor beliau masih mempunyai pengikut yang kekal taksub dengannya sejak era Reformasi 1998. Namun, untuk memperlihatkan deretan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan turun bagi membantu beliau berkempen, nampaknya, ianya besar kemungkinan tidak akan mungkin berlaku.
0 comments:
Post a Comment