My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday, 15 September 2018

    PAU2018 : Andai UMNO Diibarat Seperti Sebatang Pokok Tua...



    Untuk kali ke 72, UMNO bakal mengadakan Perhimpunan Agung tahunannya dan PWTC masih kekal menjadi vanue buat UMNO. Ianya boleh diibaratkan seperti hari raya buat ahli UMNO yang mana pada hari berkenaan bakal menyaksikan perhimpunan ahli UMNO dari seluruh pelusuk negara kecuali Sarawak.

    Apa yang uniknya kali ini, Perhimpunan Agung UMNO kali ke 72 ini menyaksikan buat pertama kalinya UMNO bukan lagi berada di blok kerajaan yang memerintah. Hari ini, UMNO berada di blok pembangkang setelah mengalami kekalahan buat julung-julung kalinya ditangan Pakatan Harapan yang diketuai oleh bekas Presiden UMNO itu sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Memang sukar untuk menerima kenyataan bahawa sejarah pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional sejak lebih 60 tahun akhirnya menemui titik nokhtahnya. Memang banyak yang berlaku sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional mengalami kekalahannya termasuklah rakan-rakan parti komponen di dalam Barisan Nasional, pergi meninggalkan UMNO dan gagasan Barisan Nasional itu sendiri.

    Tidak terkecuali juga, terdapat para pemimpin UMNO sendiri meninggalkan UMNO dan menyeberang ke kem Pakatan Harapan. Paling menyedihkan, Presiden UMNO ke 7, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah meletakkan jawatannya selaku Presiden parti dan memberi laluan buat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memangku dan sekaligus dipilih sebagai Presiden UMNO ke 8.

    Bagi ahlinya pula, ramai yang meratapi tertewasnya UMNO dan ada juga diantaranya, meninggalkan UMNO atas alasan UMNO hari ini seumpama kapal yang bakal tenggelam dan sukar untuk diselamatkan lagi. Benarkah dakwaan ini?

    Ironinya, memang tidak disangkal lagi, inilah saat dan ketika di mana UMNO berada pada tahap paling lemah sepanjang 72 tahun penubuhannya. Selama 72 tahun, UMNO telah menempuhi pelbagai ujian yang menyaksikan tertubuhnya parti serpihan seperti PAS, Semangat 46, PKR dan terbaru PPBM oleh pemimpin-pemimpin yang kecewa di dalam UMNO. Namun UMNO kekal bertahan.

    Kali ini, senarionya berbeza. UMNO belum pernah mengalami kekalahan mutlak di dalam mana-mana Pilihan Raya Umum dan di sinilah cabaran sebenar bermula. Secara mudahnya, kedudukan UMNO hari ini seperti sebatang pokok tua yang masih gagah berdiri namun diancam oleh deretan pokok-pokok muda yang mengambil manfaat aoa yang ada di dalam pokok tua berkenaan.

    Metaforanya mudah. Untuk memastikan sebatang pokok itu mampu berdiri gagah, pokok berkenaan memerlukan cahaya matahari yang mencukupi di sampung akar tunjangnya perlu menyusup masuk jauh ke dalam tanah bagi mencari sumber makanan dan bekalan air. Begitu juga ratusan akar yang berselirat juga perlu menjalankan kerja yang sama seperti akar tunjang.

    Andai semua ini dapat diselaraskan dengan baik dan kesemua komponen pokok berkenaan mampu menjalankan tugasnya dengan cemerlang, pastinya kita akan dapat melihat sebatang pokok yang cukup gah berdiri di kalangan begitu banyak pokok yang lain.

    Masalahnya bermula apabila pucuk pokok ini gagal mendapat bekalan cahaya matahari yang mencukupi. Ditambah pula dengan akar tunjang juga tidak mampu membekalkan bekalan air dan makanan terhadap pokok berkenaan dengan deretan akar yang berselirat juga saling tingkah meningkah antara satu sama lain.

    Sedikit demi sedikit batang dan dahan pokok ini semakin layu dan di tambah pula dengan kemuculan pokok yang jauh lebih muda dengan akarnya mampu mencari bekalan airdan makanan yang mencukupi untuk membantu pokok muda ini semakin tinggi dan sekaligus menenggelamkan pucuk pokok tua ini.

    Inilah realiti yang berlaku di dalam UMNO hari ini. Sebaik UMNO tewas pada Pilihan Raya Umum ke 14, ada ahli UMNO secara terbuka menyalahkan pucuk kepimpinan parti yang dianggap sebagai terlalu lemah sehingga lawan yang tidak seirama dalam tarian mereka, mampu menumbangkan UMNO.

    Sehinggakan, ada diantara akar umbi secara terbuka mahu pucuk pimpinan ini dicantas. Persoalannya di sini, adakah dengan mencantas pucuk berkenaan, keadaan UMNO kembali pulih seperti sediakala? Ingin juga ditanyakan kepada ahli akar umbi, berapa ramai yang sedar wujud pelbagai kem di peringkat cawangan dan bahagian sehingga menyaksikan UMNO itu semakin melemah?

    Setiap kali tiba musim Perhimpunan Agung UMNO, selama hampir 9 tahun, Datuk Seri Mohd Najib kerap kali menasihatkan ahli UMNO untuk merapatkan saf dan menyelesaikan apa jua masalah yang timbul demi kekuatan parti. Benar, di dalam dewan utama,ramai yang mengangguk dan bersorak. Namun apabila pulang ke sarang masing-masing, amanat Presiden dan Timbalannya hilang diterbangkan angin lebuh raya dan kapal terbang.

    Hari ini, nasihat yang dingkari ini telah memakan tuan. Disebabkan rasa kecewa tidak dipilih sebagai calon Ketua Bahagian, Ketua Cawangan, calon Pilihan Raya Umum, ada diantara pemimpin ini memilih menghasut kebencian sesama parti sehingga wujudnya sifat berpuak-puak.

    Lebih menyedihkan, ada diantara ahli UMNO sendiri memilih untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke 14 dan lebih teruk lagi, memberikan undi mereka kepada calon lawan. Ingin ditanyakan, sekarang siapa yang mengalami kerugian secara total?

    Inilah perumpamaan sebenar keadaan semasa UMNO hari ini. UMNO cukup kuat sebenarnya dengan sejumlah besar ahli adalah terdiri dari orang-orang Melayu itu sendiri. Namun, Melayu tetap Melayu. Sifat hasad dan dengki serta tidak boleh melihat otang lain lebih dari diri sendiri nyata telah membawa UMNO kelembah kejatuhan yang agak sukar untuk didaki dan kembali berdiri semula.

    Mungkin, Perhimpunan Agung UMNO kali ke 72 pada 28 hingga 30 September ini boleh dijadikan pemangkin perubahan secara total keadaan semasa di dalam UMNO. Perlu diingatkan bahawa, Datuk Seri Mohd Najib pernah berkata, Melayu akan jadi bangsa terbangsat di tanah air sendiri seandainya UMNO gagal mengukuh dan mengekalkan kuasa.

    Sejak 127 hari yang lalu, apa yang di perkatakan oleh Datuk Seri Mohd Najib, kini sudah menjadi kenyataan. Kuasa Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Pengerusi Felda Tech, Ketua Turus Angkatan Tentera, MARA dan beberapa agensi yang selama ini dikuasai oleh kaum Melayu, kini  bukan lagi ditangan orang Melayu.

    Apa lagi ruang perpecahan yang mahu diwujudkan oleh orang Melayu terutama ahli UMNO yang dilihat masih lagi tidak mampu bangkit dari rasa terkejut ditewaskan oleh Pakatan Harapan. Rapatkanlah saf wahai ahli UMNO. Kembalikan kegagahan pokok tua ini supaya ianya kekal melindungi kaum-kaum Melayu dan Bumiputera yang bernaung di bawahnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: PAU2018 : Andai UMNO Diibarat Seperti Sebatang Pokok Tua... Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top