My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday 27 September 2018

    PRK P132 Port Dickson : Mungkinkah Port Dickson Menjadi "Kubur Politik" Buat Anwar?



    Hanya tinggal kurang dari 48 jam sahaja lagi, Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Kecil P132 Parlimen Port Dickson akan membuka tirai. Kerusi ini kosong setelah penyandang sebelum ini Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi ini bagi memberi laluan buat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi berkenaan.

    Secara amnya, dengan pengosongan kerusi ini, ianya akan memberi laluan buat beliau menyertai semula kerusi Parlimen setelah kali terakhir beliau berada di dalam Parlimen sewaktu memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2013 sebelum terpaksa melepaskan kerusi berkenaan setelah disabitkan dengan kesalahan liwat yang kedua pada 2014.

    Boleh dikatakan, ini adalah kali pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi yang bukan kerusi tradisi yang beliau tandingi. Buat pertama kalinya, beliau keluar dari kerusi selesanya di Permatang Pauh dan memperjudikan nasib dan masa depan politiknya di kerusi yang belum pernah beliau tandingi.

    Mungkin, bagi para penyokongnya, mereka optimis bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memenangi kerusi ini dengan mudah. Namun hakikatnya, perkembangan semasa kira-kira 48 jam sebelum hari penamaan calon telah menyaksikan masa depan beliau kini dilihat cukup samar dan berada dalam kedudukan yang cukup genting.

    Manakan tidak, sehingga hari ini, PAS telah sah bakal meletakkan calon mereka di kerusi ini. Manakala sehingga kini, bekas ADUN Teluk Kemang, Tan Sri Isa Samad juga telah mengesahkan diri bakal bertanding dengan menggunakan tiket bebas. Itu belum lagi mengambil kira Parti Sosialis Malaysia yang juga diwar-warkan bakal meletakkan calon mereka.

    Apa yang amat dibimbangi oleh kem beliau kini adalah, sejauh mana peranan yang dimainkan oleh bekas musuh politiknya terutama sekali Tun Dr Mahathir Mohamad yang secara umumnya memang mempunyai masalah dengan beliau.

    Kebimbangan ini memang mempunyai asasnya. Sebaik sahaja beliau mengesahkan untuk bertanding di kerusi ini, secara tiba-tiba, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertukar. Itu belum lagi mengambil kira bantahan dalaman PKR yang diketuai oleh Zuraida Kamaruddin yang diketahui berada di dalam kem Datuk Seri Azmin Ali.

    Malah, kem Reformis yang diketuai beliau juga hari ini berhadapan dengan kem "kartel" yang diketuai oleh Datuk Seri Azmin Ali yang diketahui mendapat sokongan penuh dari Tun Dr Mahathir dan PPBM itu sendiri.

    Inilah kebiimbangan paling besar. Apakah perancangan yang mungkin dilakukan oleh musuh dalaman beliau bakal menyaksikan beliau akan terperangkap dalam mainan kotor rakan sesama Pakatan Harapan itu sendiri. Paling utama, adakah beliau sudah bersedia dengan segala kemungkinan termasuk mungkin berhadapan dengan kerenah birokrasi SPR pada hari penamaan calon kelak?

    Menyentuh mengenai lawan-lawannya, selama bertahun-tahun, beliau tidak pernah ditentang oleh nama-nama besar di Permatang Pauh. Namun hari ini, beliau terpaksa berhadapan dengan Tan Sri Isa Samad yang amat dikenali rapat oleh warga Teluk Kemang dan seluruh Negeri Sembilan secara amnya.

    Beliau bukan asing dalam dunia politik hari ini. Memang, secara amya, imej beliau banyak tercalar dengan deretan skandal melibatkan kewangan. Namun, andai ditanya kepada warga Teluk Kemang mahupun warga Negeri Sembilan secara amnya, sepanjang beliau menjadi Menteri Besar dan ADUN, beliau tidak pernah tidak membantu rakyat dan berkhidmat secara terus dengan rakyat tanpa banyak kerenah birokrasi.

    Beliau mudah didekati dan beliau cukup pemurah membantu rakyat. Tambahan pula, Negeri Sembilan amat kuat berpegang dengan adat Pepatih yang mana Tan Sri Isa merupakan anak dari suku kaum Pepatih. Bagi Datuk Seri Anwar pula, beliau bukan anak suku Pepatih dan tidak terikat dengan adat resam suku Pepatih. Mungkinkah beliau mampu memecahkan tradisi ini?

    PAS pula, walaupun keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu menampakkan sokongan terhadap mereka semakin menurun, namun kita tidak dapat menolak ketaksuban ahli mereka terhadap parti. Siapa sahaja yang bertanding menentang calon mereka, seluruh jentera PAS tanpa perlu disuruh akan melakukan kerja mereka sebaik mungkin atas nama Fisabillillah.

    Inilah yang risiko yang terpaksa ditempuh Datuk Seri Anwar dalam laluannya untuk menjadi Ahli Parlimen semula dan sekaligus membuka laluannya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 8.

    Laluannya cukup berliku dan bukan satu perkara yang mengejutkan andai pada hari pengundian kelak, beliau terpaksa menerima hakikat bahawa P132 Parlimen Port Dickson merupakan "kubur politik" untuknya.

    Beliau sepatutnya kembali semula ke Permatang Pauh dengan meminta anaknya, Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepadanya. Itu adalah kerusi paling selamat untuknya. Tambahan pula, Nurul Izzah bukanlah Menteri Kabinet untuk mana-mana portfolio.

    Selepas berjaya memastikan kerusi Parlimen menjadi miliknya, mungkin ada dikalangan Ahli Parlimen PKR bersedia melepaskan jawatan untuk membolehkan Nurul Izzah kembali bertanding dan menjadi Ahli Parlimen semula.

    Namun semuanya sudah disuratkan dan hari ini, apa yang boleh dilakukan adalah, memerhati dengan penuh minat pertembungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim vs Team Kartel, Tun Dr Mahathir Mohamad, SPR, DAP, Tan Sri Isa Samad dan PAS. Mampukah beliau menumbangkan semua musuh politiknya ini? Hanya kebijaksanaan beliau sahajalah yang mampu memberi jawapan kepada persoalan ini.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: PRK P132 Port Dickson : Mungkinkah Port Dickson Menjadi "Kubur Politik" Buat Anwar? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top