Bertempat di Pintu 3 Istana Negara, beberapa kumpulan NGO hari ini telah mengadakan himpunan aman bagi menyatakan sokongan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia bagi mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu dari terus dicabuli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Himpunan yang disertai oleh kira-kira 350 orang ini secara jelas membantah sebarang pencabulan yang dilakukan oleh pihak kerajaan Pakatan Harapan termasuklah mereka-mereka yang secar jelas mahu menjadikan negara ini bertukar kepada sebuah negara Republik.
Apa yang menariknya, himpunan yang disertai oleh beberapa NGO ini telah menzahirkan rasa kasih dan menjunjung tinggi kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Malah dalam ucapan Presiden PEMANTAU, Datuk Lokman Adam sebentar tadi, beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya kembali berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara yang turut meletakkan "Kesetiaan Kepada Raja dan Negara" sebagai tunggak utama dalam jati diri setiap seorang rakyat Malaysia.
Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa, Akta Penggubahan Wang Haram (AMLA) yang hari ini dijadikan modal buat kerajaan hari ini melemahkan musuh politik mereka dari terus disalah guna.
Beliau berkata, beberapa pemimpin tertinggi UMNO hari ini begitu hebat ditekan oleh beberapa agensi kerajaan dengan menggunakan akta ini. Ada diantara pemimpin ini telah disoal siasat selama beberapa hari yang mana menurut beliau, pada akhirnya, mereka diberi pilihan samada meninggalkan UMNO ataupun bersedia menghadapi pertuduhan dibawah AMLA.
Inilah yang berlaku terhadap beberapa orang pemimpin tertinggi UMNO seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Abdul Azeez dan paling utama, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri.
Umum sedia maklum bahawa sekarang ini, sebaik Pakatan Harapan berjaya menguasai Putrajaya setelah berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14, Mei lalu, begitu banyak pencabulan terhadap undang-undang negara termasuk cubaan melemahkan kuasa Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang Di Pertuan Agong dan kesemua Raja-Raja Melayu.
Menurut laporan media, beliau dikatakan tidak menamakan orang lain selain dari Tommy Thomas untuk diangkat sebagai Peguam Negara yang baru bagi menggantikan Tan Sri Apandi Ali yang dilihat seperti dipaksa untuk meletakkan jawatan.
Malah, dalam beberapa aspek dan keputusan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini telah menimbulkan begitu banyak keresahan di kalangan orang-orang Melayu yang masih tebal menjunjung tinggi institusi istana di negara ini.
Menyedari akan ancaman yang semakin hari semakin melampau inilah yang menyaksikan hari ini, beberapa NGO berhimpun bagi menyerahkan memorandum bagi menyatakan sokongan kepada Yang Di Pertuan Agong.
Mungkin hari ini adalah langkah permulaan bagi menunjukkan kepada kesemua institusi Beraja negara bahawa masih ada orang Melayu yang berani mempertahankan institusi Beraja negara dari terus dicabuli.
Paling utama, ia juga dilihat sebagai isyarat jelas buat kerajaan Pakatan Harapan mahupun mana-mana pihak yang cuba mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu supaya tidak berterusan mencabar dan memperlekehkan hak-hak kuasa Raja-Raja Melayu.
Kesemua pihak ini perlu sedar bahawa tidak semua orang bersependapat dengan mereka dan bersetuju untuk menukar negara ini menjadi negara Republik. Hari ini adalah hari permulaan dan tidak mustahil, akan ada lagi himpunan seumpama ini sekiranya institusi istana terus diganggu, diperlekeh dan dicabuli.
0 comments:
Post a Comment