Tidak dinafikan, kediaman yang dibina berasaskan material buluh mempunyai tarikan tersendiri. Sinonim dengan alam, pilihan material berkenaan dilihat lebih dekat dengan persekitaran semula jadi. Lantas, penulis mengutip pengalaman itu dengan mengunjungi ‘perkampungan buluh,’ Bamboo Village, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.
Tanpa papan tanda lokasi dan perlu merentasi laluan berbatu kira-kira 300 meter, barulah penulis tiba di perkampungan itu. Suntikan elemen buluh yang diadaptasi menjadi idea utama inap desa beroperasi sejak lapan tahun lalu itu menjadi tarikan istimewa bagi mereka yang mencari kelainan.
Di atas tanah seluas lebih 13,716 meter persegi itu, pemiliknya, Mohd Ramadhan Abdul Hamid memanfaatkan sebaik mungkin sumber alam berkenaan. Tersembunyi di celahan rimba, Mohd Ramadhan yang juga pembekal dan pembina struktur berasaskan buluh menyifatkan material berkenaan sumber kayu yang mampan untuk pembangunan masa depan.
“Berbanding kayu hutan yang digunakan dalam proses binaan, buluh lebih cepat hidup dan hanya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk matang. Sementara kayu hutan lain memerlukan masa lebih 50 hingga 100 tahun barulah sesuai untuk ditebang.
“Mungkin ada segelintir yang skeptikal menganggap bangunan atau struktur buluh tidak memiliki ketahanan atau mudah reput berbanding konkrit, kenyataannya pendapat mereka itu salah. “Sifatnya yang boleh melentur dan fleksibel, antara faktor ketahanan menghadapi gegaran,” katanya yang juga pensyarah seni bina jemputan di beberapa universiti tempatan.
Memiliki 10 binaan buluh di resort berkenaan, Mohd Ramadhan mengakui rumah buluhnya menjadi pilihan pencinta alam yang ingin menerokai dan mengalami pengalaman semula jadi.
Menepati falsafah rumah buluh ‘sejuk ketika siang, hangat pada malam hari,’ binaan buluh yang dianyam menjadi dinding bertindak sebagai saliran udara keluar masuk sekali gus mencipta suasana dalaman yang nyaman dan selesa. Meskipun buluh mempunyai nilai estetika bagi produk kraf tangan, usaha mempromosikan keunikan dan kehebatan buluh tidak dipergiatkan terutama dalam pembinaan rumah.
Di dunia terdapat kira-kira 1,250 spesies buluh, 75 spesies boleh didapati di Asia sementara Malaysia pula memiliki 50 spesies buluh. Sekali gus membuktikan negara ini kaya dengan sumber berkenaan.
“Tiga jenis buluh yang popular dan sesuai dijadikan bahan utama dalam pembinaan bangunan adalah buluh semantan (Gigantochloa scortechinii), buluh betong (Dendracalamus asper) dan buluh akar (Dendracalamus pendulus).
“Buluh betong antara buluh paling banyak digunakan dulu, namun kini, trend berubah kepada penggunaan buluh semantan sejak empat tahun lalu. Selain itu, buluh semantan juga memiliki diameter besar antara empat hingga 12 sentimeter, jadi ia sesuai untuk dijadikan bahan utama bangunan.
“Buluh semantan tumbuh subur di sepanjang Banjaran Titiwangsa dan menjadikannya satu daripada sumber buluh paling banyak di negara ini.
Merujuk kepada tempoh hayat rumah buluh, Mohd Ramadhan menjelaskan binaan boleh bertahan selama 25 tahun malah ada mencecah 130 tahun seperti di Bali, Indonesia. Rahsia ketahanan buluh bergantung pada beberapa faktor termasuk usia matang, kaedah dan waktu penebangan buluh, spesies buluh yang digunakan serta cara rawatannya.
Antara tip dikongsikan Mohd Ramadhan ketika proses penebangan buluh adalah usia buluh antara tiga hingga lima tahun, tidak boleh ditebang sekiranya mempunyai rebung kerana enzim buluh disalurkan kepada rebung berkenaan, jadi ia tidak mempunyai kekuatan. Sebaik-baiknya buluh ditebang ketika musim panas.
Ditegaskan, tidak digalakkan melakukan penebangan ketika bulan mengambang atas faktor tarikan graviti yang membuatkan buluh mengandungi kuantiti air dan gula yang tinggi. Masih mengamalkan cara rawatan tradisional, Mohd Ramadhan selalunya akan merendam buluh yang dipotong di dalam air yang mengalir selama seminggu, diikuti rendaman bersama pengawet borax.
Kongsi Mohd Ramadhan lagi, rumah buluh lebih menarik jika ia dibina di atas tanah yang berkontur atau berlereng bersesuaian dengan sifat tradisional dan kedesaan. Ini terbukti apabila kedudukan rumah buluh di Bamboo Village diletakkan di tanah berlereng dan posisi agak berselerak berjaya menyerlahkan tarikan unik bangunan buluh.
0 comments:
Post a Comment