Gara-gara membuat tohmahan di laman sosial dengan menuduh polis lambat bertindak atas pembunuhan seorang imam Palestin pada 21 April lalu, seorang pelancong Yemen menjadi individu pertama bakal dituduh di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 di Mahkamah Sesyen di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini hari ini.
Salem Saleh Sulaiman, 46, yang mempunyai kewarganegaraan Denmark akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Antiberita Tidak Benar 2018 kerana mengeluarkan satu kenyataan palsu menerusi satu klip video yang mendakwa pihak polis lewat bertindak dalam kejadian pembunuhan Dr. Fadi M. R Albatsh di Medan Idaman, Setapak pada 21 April lalu.
Media difahamkan video berdurasi dua minit dalam bahasa Arab tersebut yang kemudian diterjemahkan dalam bahasa Melayu menjadi viral di laman sosial beberapa jam selepas kejadian pembunuhan Fadi yang merupakan pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Satu sumber berkata, suspek yang memasuki negara ini menggunakan pas pelancong pada 11 April lalu ditahan di Jalan Meranti, Setapak pada 23 April lalu oleh sepasukan polis yang diketuai Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Inspektor Tan Sie Guan.
Semasa ditahan, lelaki yang bekerja sebagai penjaga kuda di Denmark itu berada di rumah rakannya di Setapak sejak memasuki Malaysia.
0 comments:
Post a Comment