Amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini khususnya pelajar atau generasi muda berada pada tahap yang agak membimbangkan. Satu kajian menunjukkan purata masyarakat di negara ini hanya membaca sehelai muka surat untuk satu tahun.
Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, berdasarkan kajian tinjauan yang dijalankan mendapati pelajar sekolah menengah dan mahasiswa ada membaca tapi lebih menjurus medium digital seperti media sosial, blogspot dan lain-lain.
Katanya, hampir 90 peratus pelajar hanya membaca bahan hiburan, gosip, cerita mistik atau kontroversi manakala bahan ilmiah hanyalah nota kuliah, nota ringkas yang berkaitan peperiksaan. "Jika tiada peperiksaan, sangat jarang kita menemui golongan muda yang membaca buku sebagai hobi dan menjadikannya satu keseronokan atau sumber menerokai dunia baru.
“Pemerhatian dan analisis terhadap budaya membaca pelajar dan golongan muda hari ini juga mendapati hujah serta perbualan harian mereka, rata-rata hanya dipenuhi pandangan peribadi yang kurang berasas maklumat yang sahih dan jelas.
“Sebaliknya sebahagian besar maklumat yang diperbualkan dan dihujah generasi ini lebih banyak berpaksikan maklumat picisan daripada Facebook, Twitter, blog dan maklumat berantai termasuk daripada WhatsApp serta Telegram,” katanya.
Katanya, tabiat membaca buku dalam kalangan pelajar dan golongan muda di Malaysia hari ini berada pada tahap sederhana berbanding beberapa negara lain seperti Singapura, Jepun dan Britian yang mempunyai tahap amalan membaca yang tinggi. Malah katanya, kehadiran media massa hari ini tidak dilihat sebagai ‘indikator’ utama yang mengubah corak amalan membaca.
Sebaliknya desakan ekonomi khususnya keperluan hidup menyebabkan tumpuan diberikan kepada usaha mengejar kesenangan material berbanding mengorbankan masa untuk membaca buku dan aktiviti pemerolehan ilmu menerusi sesi diskusi ilmiah.
Sebahagian besar golongan muda khususnya di bandar terperangkap dengan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan ruang masa untuk membaca lebih terbatas dan terhad. “Tambah menyulitkan, buku terbitan tempatan mahupun luar negara begitu mahal dan menjadi halangan utama kepada sebahagian besar isi rumah di Malaysia untuk membeli koleksi buku yang diminati.
“Implikasinya, bentuk bahan bacaan masa kini memperlihatkan kecenderungan pelajar dan orang muda untuk menelaaah bahan bacaan elektronik serta digital seperti e-buku, buku audio serta format Dokumen Mudah Alih (PDF) yang boleh dimuat turun sepenuhnya.
“Bagaimanapun, bahan bacaan bercetak masih menjadi pilihan utama penggemar buku. Jika dikaji dengan teliti, amalan membaca golongan itu hari ini sangat terbatas kepada buku popular, majalah, surat khabar dan risalah seperti buku teks, nota kuliah atau nota ringkas guru bagi tujuan peperiksaan,” katanya.
Mohd Nazri berkata, buku popular di kedai buku atau pesta buku boleh dijadikan sandaran terbaik untuk menganalisis sikap memilih bahan bacaan generasi muda hari ini. Katanya, bahan bacaan ini tidak lebih kepada bahan bacaan santai atau ringan yang tidak mampu mencerna idea dan pemikiran kelas pertama.
“Tambah merumitkan sebahagian besar pelajar hari ini lebih tertumpu kepada bahan bacaan berbentuk buku nota ringkas, nota kuliah atau nota pada untuk tujuan peperiksaan.
“Malahan buku teks di sekolah yang menjadi rujukan utama pun tidak dibaca sepenuhnya oleh pelajar sebaliknya lebih memilih bahan bacaan berbentuk nota padat guru, soalan tahun lalu sebagai ‘drill’ untuk tujuan lulus cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Katanya, seharusnya kempen amalan membaca bukan hanya sekadar memberi tumpuan kepada buku atau bahan bacaan yang dibaca semata-mata. Sebaik-baiknya, pengisian program berbentuk ilmiah seperti diskusi ilmiah, ruang bedah buku, santai bersama tokoh ilmuan, malahan penyanyi atau pelakon popular turut boleh diketengahkan sebagai usaha mendidik generasi hari ini untuk lebih mencintai ilmu.
Mohd Nazri berkata, pemilihan bahan bacaan yang berkualiti sangat penting dalam memastikan peradaban sesuatu bangsa terus berkembang.
“Kita perlu meneliti dan menyelidik setiap bahan bacaan yang ada sebelum membaca. Ini kerana untuk berada sebaris dengan bangsa yang bertamadun tinggi dan disegani, buku yang popular dalam kalangan generasi muda hari ini adalah buku yang merungkai permasalahan, mencambah idea serta pemikiran masyarakat. Bukannya buku yang dipenuhi dengan cerita gosip, mistik dan sensasi.
“Pembudayaan amalan membaca ini tidak hanya terhad kepada membaca buku sebaliknya perlu digandingkan bersama dengan beberapa bentuk majlis ilmu yang dapat memperkayakan penerbitan buku berkualiti bagi kepentingan sejagat.
“Tidak salah generasi hari ini memilih bahan bacaan yang mereka minati, namun perlu dipergiatkan usaha untuk melipatgandakan bahan bacaan ilmiah berbentuk kreatif berkualiti dalam bentuk penulisan santai dan mudah difahami kelompok khalayak.
Katanya, minat membaca generasi pelajar dan muda hari ini sudah sedia ada, namun usaha melonjak amalan ini ke arah bahan bacaan berkualiti perlu dipergiatkan dengan meneliti aspek penulisan serta penyampaian dalam bentuk yang menarik, kreatif selain selaras dengan perkembangan ilmu dalam era Revolusi Industri (IR) 4.0.
0 comments:
Post a Comment