PENGULAS fesyen, Zaihani Mohd Zain mengaku salah dan mohon maaf atas kenyataannya di Facebook (FB), baru baru ini sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak. Menurutnya, dia tidak berniat langsung menyentuh sensitiviti orang mengenai berat badan sebaliknya merujuk kepada situasi dialami di sebuah pertunjukan fesyen ketika itu.
“Sekiranya status saya menyinggung perasaan mana-mana ahli keluarga, kawan kawan dan pengikut, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. ‘From the bottom of my heart’.
“Bukan niat saya untuk menghina (body shame) sesiapa dan akui memang salah apabila menyebut mengenai berat badan itu. Status di FB saya tempoh hari adalah luahan hati mengenai situasi yang saya alami baru baru ini.
“Sepanjang kerjaya sebagai ketua penata gaya selama hampir tiga dekad, saya tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawab jika saya bersikap suka jatuh hukum,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, Zaihani berkata luahan itu sebenarnya berpunca daripada perbuatan ‘manspreading’ seorang tetamu. “Pada hari kejadian, saya duduk di sebelah seorang tetamu lelaki tidak menghormati ruang tempat duduk saya. Kakinya terkangkang sehingga terlebih ke kerusi saya dan buat tidak tahu meskipun saya menunjukkan rasa tidak selesa.
“Baru saya tahu situasi sebegitu adalah isu ‘manspreading’ yang mana ia sebenarnya agak kurang ajar. Bagaimanapun, sewaktu menulis kenyataan itu di Facebook, saya belum lagi tahu terma terbabit,” katanya.
Tambah Zaihani, kenyataan itu tidak berniat langsung memperlekeh mereka berbadan besar dan ditujukan khas buat sesetengah kelompok. “Saya menulis angka 60 kilogram itu sebagai analogi kepada situasi itu. Mana tidak, tetamu lelaki berkenaan yang duduk di sebelah sepertinya tidak hormat saya sebagai wanita dan biarkan saja kakinya berlaga dengan kaki saya.
“Tidak mungkinlah saya maksudkannya terang-terangan memandangkan saya sendiri ramai kawan yang berbadan besar. Jauh sekali mahu menghina fizikal orang lain,” katanya.
Mengenai kecaman kenapa dia sendiri hadir pertunjukan fesyen meskipun sudah berpangkat nenek, Zaihani berkata dia perlu menghormati setiap jemputan yang diterimanya. “Apabila sudah mendapat jemputan, saya kenalah datang sebagai tanda sokongan kepada pereka fesyen berkenaan. Lagipun, di usia sebegini pun kecintaan saya terhadap fesyen masih mendalam,” katanya.
Dalam pada itu, Zaihani mengakui berasa amat kesal apabila luahan peribadinya di Facebook itu tersebar meskipun meletakkan akaunnya dalam mod ‘private’. “Sepatutnya luahan itu hanya untuk tatapan kawan-kawan saya saja. Sebaliknya ada individu tidak bertanggungjawab pergi menyebarkannya di internet pula. Memang saya sangat kesal apalagi konteks asal kenyataan itu disalaherti,” katanya.
Terdahulu, Zaihani dikecam ramai apabila tampil dengan kenyataan yang membuatkan ramai mengecamnya akibat dianggap menghina orang gemuk. “Kalau berat badan melebihi 60 kg, tak payahlah datang sebabnya peha awak tu melimpah kat kerusi sebelah kiri dan kanan awak. Ia sungguh menjanggalkan dan tidak menyelesakan buat orang yang duduk di sebelah kamu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment