Pembawa bendera Australia dan pemenang pingat emas acara larian kerusi roda, Kurt Fearnley menyelar tindakan penganjur Sukan Komanwel 2018 kerana tidak menyiarkan perbarisan masuk para atlet pada majlis penutupan Sukan Komanwel 2018 malam kelmarin.
Fearnley melahirkan rasa kecewa apabila aksinya yang memasuki stadium dengan membawa bendera tidak dirakam, sekali gus tidak dapat ditonton oleh para penyokong tuan rumah. “Saya pasti terdapat ramai atlet yang menyertai Sukan Komanwel dan ahli keluarga mereka sudah tentu ingin melihat mereka memasuki stadium pada majlis penutupan Sukan Komanwel.
"Peter Beattie (Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Komanwel 2018 Gold Coast) telah mengakui kesilapan mereka, dan saya setuju itu salah mereka,” katanya.
Keputusan untuk tidak merakam aksi atlet ketika memasuki stadium pada majlis penutupan itu menimbulkan kemarahan peminat sukan serta ahli-ahli politik sehingga memaksa Beattie mengeluarkan kenyataan memohon maaf.
Bukan setakat itu sahaja, Fearnley turut menyindir penganjur mengenai kejayaan penganjuran sukan tersebut apabila menyifatkannya sebagai Sukan Komanwel paling terbaik dan inklusif.
“Kepada semua orang yang tidak berpuas hati dengan situasi ini, saya tahu kamu melakukannya kerana ingin menegakkan hak kami sebagai atlet. Bagaimanapun, saya juga akan bersuara sekiranya tidak berpuas hati,” katanya.
0 comments:
Post a Comment