ANGGOTA bomba dan penyelamat yang sedang membersihkan tumpahan minyak di jalan dalam kawasan kampus Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, dikejutkan dengan kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di persimpangan universiti itu pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berhubung tumpahan minyak di dalam kampus UNIMAS.
“Bagaimanapun, ketika anggota kami sedang membersihkan tumpahan itu, tiba-tiba berlaku kemalangan di lampu isyarat di hadapan UNIMAS. Berikutan itu, anggota kami bergegas ke lokasi kemalangan untuk memberi bantuan, namun seorang mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi cedera parah manakala pemandu kereta berusia 26 tahun, selamat,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Drus Anis, 52, manakala penunggang motosikal iaitu Lai Miaw Shin, 55, parah dan dikejarkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, di sini, untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian 9.20 pagi itu berlaku apabila motosikal dinaiki dua lelaki dari arah Kuching cuba membelok ke Taman Unigarden.
Beliau berkata, pada masa sama, Honda Civic dari arah Kota Samarahan menghala ke Kuching, gagal mengelak motosikal itu.
“Kejadian itu bukannya berpunca daripada tumpahan minyak di dalam kampus UNIMAS, sebaliknya berlaku di persimpangan lampu isyarat ketika motosikal mangsa cuba membelok ke kanan, manakala kereta pula arah lurus dari Kota Samarahan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
0 comments:
Post a Comment