My Blog List

Translate

  • PANAS

    Saturday 28 April 2018

    Kau Rasa Kau Model?



    PERSEMBAHAN ‘cat walk’ dan kalungan bunga di atas pentas dijadikan sebagai tarikan bagi pelanggan yang berkunjung di pusat hiburan elit di kawasan Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur. Setiap kalungan bunga yang diberikan kepada pelanggan turut dikenakan bayaran bermula RM100 hingga RM300 sebagai ‘tips’ kepada wanita pilihan mereka. 

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Mustafar Ali berkata, risikan dan pemantauan awal mendapati terdapat aktiviti tidak bermoral dilakukan dalam premis itu yang mengadakan majlis khas bertemakan ‘Seksi Thai Kick Boxing’ seperti yang disambut di Thailand.

    Katanya, hasil maklumat diperoleh, pihaknya membuat serbuan di premis berkenaan dalam operasi dijalankan kira-kira 3 pagi semalam membabitkan seramai 20 pegawai Imigresen daripada Unit Quick Response Team (QRT), Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa JIM.
    “Pusat hiburan elit itu menawarkan acara istimewa iaitu persembahan ‘cat walk’ dan kalungan bunga sebagai daya penarik mendapatkan pelanggan untuk berhibur di premis berkenaan.

    “Dalam operasi itu, kami membuat pemeriksaan terhadap 53 individu yang berada di dalam premis itu dan menahan 28 individu terdiri daripada 21 wanita warga Thailand berusia 20-an yang bekerja sebagai penari, penyanyi, pelayan pelanggan (GRO) selain tujuh lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an yang juga pekerja di premis berkenaan.

    “Kami turut menahan dua lelaki lelaki tempatan yang dipercayai menyelia aktiviti tidak bermoral di pusat hiburan elit itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mustafar berkata, ketika serbuan, beberapa GRO dan pekerja pusat hiburan itu cuba melarikan diri dengan menggunakan laluan rahsia dan pintu belakang premis, namun berjaya dihalang pegawai bertugas yang sudah mengepung premis terbabit.

    “Pusat hiburan itu membuat beberapa pengubahsuaian pada pintu magnetik, laluan dan pintu keluar yang hanya boleh diakses dari dalam premis sahaja bagi mengelak serta melambatkan pergerakan pihak penguatkuasa ketika serbuan dilakukan.

    “Sebelum ini, pusat hiburan berkenaan pernah diserbu tahun lalu, namun masih menjalankan aktiviti sama bagi mengaut keuntungan lumayan. Hasil soal siasat awal mendapati wanita Thailand yang bekerja sebagai GRO boleh mendapatkan ‘tips’ sehingga RM400 hingga RM500 dalam sehari. 

    “Mereka (GRO) memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial bagi tempoh 30 hari dan melakukan aktiviti itu untuk mengaut keuntungan lumayan dengan mudah dalam tempoh masa singkat,” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak empat notis untuk hadir memberi keterangan dikeluarkan kepada pekerja, juruwang, pengawal peribadi dan pelanggan yang berada di dalam premis ketika serbuan dijalankan bagi membantu siasatan.

    “Semua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan susulan selepas didapati tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATISOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

    Katanya, semua pihak berkuasa terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya bersama-sama mengambil tindakan tegas terhadap premis menjalankan aktiviti tidak berlesen serta tidak bermoral bagi memastikan kegiatan itu tidak terus dijalankan walaupun sudah beberapa kali diserbu pihak berkuasa.

    “Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) selain menyampaikan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kau Rasa Kau Model? Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top