My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 23 April 2018

    Tragedi Mandi Di Muara Pantai



    BUDAK lelaki berusia 12 tahun yang hilang ketika mandi di muara pantai Bundusan, Pengalat Besar, Papar, semalam, ditemui lemas, pagi tadi.

    Mayat Petrus Lai Chui Ming, 12, ditemui sekumpulan nelayan di kawasan pantai, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada 6.50 pagi, manakala seorang lagi mangsa, Ng Hoi Lang, 23, belum ditemui dan pencarian masih dilakukan oleh pasukan penyelamat.

    Dalam kejadian 6.15 petang semalam, Chui Ming dan Hoi Lang dilaporkan mandi di kawasan muara berkenaan sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus. Majikan kepada Hoi Lang, Tham Khei Loon, 38, berkata, pemuda itu adalah pekerja di restoran makanan Cina milik beliau di Pekan Papar, manakala Chui Ming adalah anak kepada rakan kongsi beliau mengusahakan restoran berkenaan.

    "Lebih dua tahun Hoi Lang bekerja di sini dan sepanjang tempoh itu dia tidak pernah keluar dari Pekan Papar kerana kehidupan sehariannya hanya di restoran dan pulang rumah.

    "Berikutan itu, kejadian ini amat mengejutkan kerana kami sendiri tidak tahu dia membawa Petrus (Chui Ming) ke pantai ini untuk mandi. Hoi Lang berasal dari Perak dan keluarganya akan datang ke Sabah dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

    Sementara itu, jurucakap Jabatan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Papar digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan pada 6.23 petang.

    Bagaimanapun, katanya, operasi di sepanjang pesisiran pantai dan muara sungai berkenaan ditangguhkan pada 12.50 malam berikutan keadaan gelap. "Operasi pencarian bersambung pada 6.30 pagi tadi membabitkan 19 pegawai dan anggota termasuk tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air Zon Beaufort (SCUBA).

    "Pada 6.50 pagi tadi, mayat kanak-kanak lelaki ditemui di pantai Bundusan oleh sekumpulan nelayan pada jarak satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum diserahkan kepada pihak polis. Operasi mencari seorang lagi mangsa berusia 23 tahun masih diteruskan," katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tragedi Mandi Di Muara Pantai Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top