Kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir negara selama ini sememangnya tidak pernah melupakan agenda pembangunan pengangkutan awam di negara ini. Bagi sebuah kerajaan yang cukup prihatin terhadap kemajuan negara, ianya dianggap asas dan penanda aras terhadap kemajuan yang dikecapi negara.
Lihat sahaja bagaimana negara-negara yang sudah berada selangkah dihadapan kita. Kesemua negara-negara berkenaan amat menitik beratkan pembangunan dan keselamatan pengangkutan awam yang memudahkan para penduduknya berhubung antara satu sama lain.
Disamping itu juga, seandainya kemajuan pengangkutan awam ini dijaga dan dikembangkan, sudah semestinya ia memberi lambang yang baik buat negara terutamanya dari pelancong luar.
Hari ini, kita sudah mempunyai jaringan LRT, Monorel, Komuter, MRT, bas henti-henti, perkhidmatan teksi dan Grab yang kesemuanya adalah hasil usaha berterusan kerajaan dalam membawa arus perubahan terhadap pengangkutan awam di negara ini. Ianya bukan mudah untuk dicapai jika tidak kerana kita mempunyai kerajaan yang kukuh dan stabil.
Justeru, apabila Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan inisiatif pengangkutan awam dalam Pembentangan Bajet 2018 dan pengumuman Manifesto BN pada 7 April lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) amat menyambut baik pelbagai inisiatif tambahan ini.
Manakan tidak, sebagai salah sebuah agensi yang bertanggungjawab kepada keselamatan jalan raya dan pengangkutan awam di negara ini, ianya memberikan satu lonjakan semangat buat SPAD dalam menyelenggara dan memastikan keselamatan pengangkutan awam negara berada pada tahap optimum.
Hari ini, kita tidak boleh menolak peranan besar yang dimainkan oleh semua penyedia perkhidmatan awam di negara ini. Peranan semua pihak amat dituntut oleh kerajaan menerusi SPAD dalam memastikan mutu pengangkutan awam negara selaras dengan kemajuan yang dikecapi dan bakal dinikmati negara menjelang tahun 2020.
0 comments:
Post a Comment