TINDAKAN pantas lelaki meminta orang awam dan kakitangan Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu, keluar daripada bangunan, berjaya menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam kebakaran di premis berkenaan, awal pagi tadi.
Menurut saksi, Mohd Hafiz Ruhaili Suhaidi, 20, kejadian berlaku pada 6.10 pagi selepas dia menghantar ibunya yang bekerja di klinik itu. "Saya sedar kebakaran berlaku apabila melihat api marak di sebalik cermin bangunan dan disebabkan bimbang keselamatan ibu, saya masuk ke dalam untuk menyelamatkannya.
"Sebaik masuk, ibu sudah keluar dari pintu hadapan manakala, masih ada kira-kira 10 individu dalam bangunan termasuk beberapa warga emas yang mahu mendapatkan rawatan. Saya segera meminta mereka keluar kerana bimbang api merebak dan asap semakin tebal," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Hafiz berkata, sebaik mereka keluar dari bangunan itu, dia segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan. "Mujur semuanya selamat termasuk beberapa pesakit warga emas yang berada di klinik itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.12 pagi berhubung kejadian itu.
"Seramai 30 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dan Lintas bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. "Kebakaran membabitkan bilik pemeriksaan dan api berjaya dikawal serta dipadam sepenuhnya pada 6.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan, tiada kemalangan jiwa atau kematian dilaporkan," katanya. Khatizah berkata, operasi ditamatkan pada 6.50 pagi selepas pemeriksaan dilakukan di seluruh kawasan adalah selamat manakala punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
0 comments:
Post a Comment