CIRCUIT Of The Americas (COTA) tidak memihak kepada pelumba negara pada saingan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat dengan menyaksikan Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin masing-masing tidak menamatkan perlumbaan, awal pagi tadi.
Hafizh yang berlumba dalam kelas perdana, terkeluar daripada saingan pada pusingan kelapan daripada 20 pusingan namun masih kekal berada di tangga teratas dalam kelompok muka baharu MotoGP dengan sembilan mata keseluruhan. “Saya mempunyai kelajuan yang amat baik tetapi jujurnya saya kecewa,” kata pelumba Monster Yamaha Tech3 itu.
"Pagi ini (sesi pemanas badan), kami juga terbabas dan tidak dapat melakukan pelarasan berbeza, jadi kami terpaksa menggunakan pelarasan seperti di sesi latihan bebas. Apapun, saya adalah salah seorang muka baharu yang terkuat di trek sukar ini tetapi pulang dengan kekecewaan kerana tidak meraih mata di pusingan ketiga ini.
“Saya hilang kawalan di bahagian depan, mungkin kerana saya mahu bersaing dengan pelumba Ducati yang sememangnya sangat laju di laluan lurus, jadi saya cuba mengejar dengan kawalan brek. Bagaimanapun, saya pasti akan dapat kembali bersemangat untuk perlumbaan seterusnya.”
Sebelum itu, Adam yang meraih penamat kelima di GP Argentina dua minggu lalu - yang terbaik dalam kariernya di Moto3 - juga menerima nasib sama apabila terjatuh di pusingan kedua daripada 17 pusingan perlumbaan.
“Saya memperoleh permulaan yang baik tetapi di selekoh pertama di sini sentiasa menyediakan saingan yang cukup hebat dan berisiko tinggi. Apabila saya memasuki selekoh pertama, saya terkena pelumba di depan dan terkeluar daripada saingan.
“Saya cuba untuk kembali semula dalam saingan tetapi palang hendal sudah bengkok dan saya terpaksa menarik diri,” kata pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu.
Dalam saingan Moto2, dua pelumba negara - Khairul Idham Pawi dan Zulfahmi Khairuddin - masing-masing mampu menamatkan perlumbaan di tangga ke-25 dan 27. Khairul Idham yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia menamatkan perlumbaan dengan catatan 40 minit 16.982 saat manakala Zulfahmi (SIC Racing), 40’57.115s.
0 comments:
Post a Comment