PENGURUS Manchester United Jose Mourinho menyesali ‘episod negatif’ yang mencemari hubungannya dengan Arsene Wenger menjelang kunjungan terakhir pengurus kelahiran Perancis itu sebagai pengurus Arsenal ke Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam esok.
Kedua-duanya sering bertelagah dengan Mourinho gemar mengumpan Wenger yang sering dianggapnya suka ‘menyibuk’ dan ‘pakar kegagalan’. Namun hari ini Mourinho memberitahu MUTV beliau tidak gembira dengan beberapa tindakannya sepanjang 19 pertemuan membabitkan mereka.
“Ada sesetengah perkara kecil yang tidak sewajarnya berlaku, beberapa tindakan, beberapa kata-kata yang tidak sepatutnya disuarakan,” kata Mourinho.
Hubungan kedua-duanya semakin keruh pada 2014 apabila Wenger menolak Mourinho di tepi padang Stamford Bridge, sebelum beliau meminta maaf dan mengakui tindakannya itu berpunca daripada provokasi. Mourinho menjelaskan kebanyakan tindakannya itu wajar dilihat dalam konteks cuba mencabar kedudukan Arsenal sebagai pasukan utama England.
“Sewaktu saya datang ke England pada 2004, Arsene adalah juara dan memiliki pasukan ‘kebal’, dan terus menerajui selama beberapa tahun. (Dennis) Bergkamp, Thierry (Henry), (Sol) Campbell - pasukan yang hebat. Mereka benar-benar menguji kemampuan kami. Dua perlawanan yang kami sertai, bukan di Emirates tetapi di stadium lama sukar dilupakan.
“Kami bertarung dengan hebat, bergaduh besar, jadi terima kasih untuknya. Menyesal? Ia hanya episod negatif yang kecil.”
Namun Mourinho meminta penyokong United memberikan sambutan positif terhadap Wenger. “Saya harap beliau menerima sambutan baik. Jika tidak baik, ia tidaklah terlalu teruk dan dari kelab kami, beliau akan merasai penghormatan yang kami miliki,” kata Mourinho.
“Penyokong Man United sedar bahawa sehingga 2004 iaitu kira-kira sedekad, pertembungan adalah membabitkan Man United dan Arsenal, antara Sir Alex (Ferguson) dan Wenger dan saya fikir pasukan hebat yang dimiliki Arsenal menjadikan Man United semakin baik.”
0 comments:
Post a Comment