Nampaknya Sony sudah habis bercerita berkenaan kembara Kratos, Ghost of Sparta dalam God of War: Ascension yang dilancarkan pada 2013 lalu. Kratos menewaskan hampir semua dewa Greek yang dikenali manusia.
Ramai menyangka kisahnya sudah habis diceritakan tapi apabila Sony mengumumkan di Ekspo Hiburan Elektronik (E3), nampaknya kita bakal bersama Kratos sekali lagi. Tinggal lapan hari lagi sebelum pelancaran dan ternyata ‘God of War’ sudah membekalkan petunjuk kepada peminatnya.
Mitologi Norse Yang Baru
Walaupun Kratos banyak menempuh perjalanan berliku menerusi mitologi Greek dalam keluaran terdahulu, ‘God of War’ baru ini menandakan persinggahan daripada kebiasaan.
Kali ini kita akan menyaksikan Kratos membuat onar dalam dunia baru dipenuhi musuh lebih berbahaya berbanding dulu. Thor, Odin, Groa dan suaminya, Aurvandil juga membuat kemunculan dalam edisi ini. Bagi Kratos, perubahan ini menunjukkan dia ingin melarikan diri dari pengalaman lalu.
Kratos Kembali Tapi Ditemani Insan Tersayang
Dalam keluaran terdahulu, Kratos ditonjolkan sebagai karakter yang sangat pemarah. Dia ada sebab berkelakuan demikian kerana dalam keluaran pertama, keluarganya dibunuh tapi idea itu agak meleret hingga keluaran ketiga.
Kratos kelihatan seperti sudah dirasuk dan mengalami masalah mental yang kronik. Siapa sangka, hubungan bapa dan anak masih relevan dalam permainan video. Kali ini kita menyaksikan sisi ‘manusia’ Kratos. Kita disajikan dengan nilai kebapaan dan bagaimana Kratos mendidik anaknya untuk menjadi lebih berani dan berkeyakinan tinggi.
Senjata Baru
Tak dinafikan, tempat baru bermaksud ada senjata lebih menarik untuk Kratos. Sudah hilang senjata ikonik Blades of Chaos tapi digantikan dengan Kapak Leviathan. Senjata ini boleh dibaling seperti tukul Mjolnir yang kembali kepada tuannya. Berbeza dengan dulu, Kratos bukan lagi memukul tanpa perlu atur strategi.
Dulu, kita akan menekan saja butang untuk menewaskan musuh. Kali ini, strategi menjadi kunci untuk memenangi perlawanan. Bantuan Atreus hanya memudahkan Kratos melakukan kombo tapi keputusan penuh terletak pada pemain yang melakar strategi mereka sendiri.
Atreus Juga Seorang Pahlawan
Hubungan Kratos dan Atreus adalah resipi utama yang meletakkan ‘game’ ini dalam kelompok tersendiri. Tidak seperti ayahnya, Atreus percaya pada takdir dan rela menggunakan kuasa magis yang dikurniakan kepadanya. Santa Monica sendiri cuba yang terbaik untuk melengkapkan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan Atreus membuat keputusan dengan lebih bijak.
Semakin lama kembara pemain dalam permainan, pilihan yang dibuat akan memberi kesan bukan saja kepada Kratos tapi juga Atreus. Seperti juga pilihan seorang bapa kepada anaknya.
Dunianya Besar Tapi Bukan Terbuka (Open World)
Grafiknya begitu cantik seperti disaksikan dalam beberapa iklan acah di YouTube. Dunia ‘God of War’ dicipta dengan teliti tapi malangnya ia bukan ‘open-world seperti judul AAA yang lain. Tapi janganlah risau, Santa Monica menjanjikan misi pengembaraan yang membuatkan pemain ingin meneroka dan mempelajari mitologi Norse dengan lebih mendalam.
Dilaporkan pemain mengambil masa hingga 25 jam hingga 35 jam untuk menamatkan sesi permainan penuh, lebih lama dari mana-mana entri sebelumnya.
Sudut Kamera Lebih Dekat
‘God of War’ sentiasa berada dalam kelompok genre aksi tapi biasanya sudut kamera berbeza dan pandangan pemain biasanya dijauhkan bagi memberi ruang kepada tontonan aksi Kratos membelasah musuh. Dalam entri terbaru ini, sudut kamera lebih dekat dengan bahu karakter, membolehkan pemain memfokuskan perlawanan dengan lebih baik dan menjiwai sifat kepahlawanan Kratos.
‘God of War’ secara rasminya bakal dilancarkan pada 20 April ini dan boleh didapatkan di pengedar rasmi PlayStation di seluruh Malaysia.
0 comments:
Post a Comment