Negara sekarang sedang hangat dengan musim Pilihan Raya Umum yang ke 14. Bagi kalangan ahli politik yang bakal bertanding mahupun hanya membantu calon-calon pilihan parti masing-masing, pelbagai agenda dan janji ditabur untuk memastikan calon dan parti mereka dipilih oleh rakyat untuk lima tahun yang akan datang.
Sebenarnya, SPAD langsung tidak terlibat dalam sebarang kempen pilihan raya. Cuma, apa yang menarik perhatian SPAD adalah, janji pihak pembangkang yang ingin membatalkan projek pembinaan mega East Coast Rail Link (ECRL) yang mengubungkan Tumpat ke Pelabuhan Klang sepanjang lebih 600 kilometer.
Bagi pemerhati ekonomi, pembinaan ini dilihat sebagai ransangan terbaik ekonomi negara terutamanya di sebelah Pantai Timur yang dilihat agak ketinggalan berbanding Pantai Barat. Dari segi logistik pula, ianya bakal memberikan satu lagi alternatif pengangkutan awam kepada pengguna selain daripada memudahkan urusan perniagaan dan pengangkutan kontena ke Pantai Timur.
Bukan sedikit impak hasil daripada projek mega ini. Bayangkan, berjuta orang akan menerima manfaat hasil daripada pembinaan ini. Adakah ianya berbaloi untuk di batalkan begitu sahaja setelah segala usaha dilakukan sehingga mencecah 30 peratus kesiapan projek ini hancur begitu sahaja?
Mari kita lihat bagaimana projek ini dipolitikkan oleh kerajaan pembangkang di Selangor. Sehingga hari ini, kerajaan negeri gagal memberi kelulusan untuk membangunkan tanah yang akan digunakan untuk membangunkan projek ini di Selangor. Ini adalah gambaran kecil bagaimana pembangkang menolak pembangunan projek pengangkutan awam ini.
Benar, SPAD bukanlah sebuah agensi yang berlandaskan politik. Namun dari segi tanggungjawab kepada rakyat terutamanya bagi pengguna pengangkutan awam, adalah satu perkara yang amat merugikan buat penduduk Pantai Timur dan Pantai Barat sekiranya projek yang baik ini di batalkan setelah pembangkang berjaya membentuk kerajaan kelak.
Ini bukan projek mainan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Ini adalah tanggungjawab sebuah kerajaan yang mahu melihat semua rakyatnya menikmati hasil kemajuan negara menerusi pembangunan sebuah pengangkutan awam yang efisyen, maju dan canggih. Jangan salah menilai dan jangan salah memilih kerana akibatnya cukup buruk buat masa depan negara.
0 comments:
Post a Comment