Tidak ramai yang berminat menternak landak kerana spesies yang termasuk dalam kategori haiwan eksotik itu diakui lambat memberikan pulangan lumayan berbanding kambing dan lembu. Penternakan landak raya atau Hystrix brachyura memerlukan modal besar dan kesabaran tinggi kerana ia tidak seperti ternakan lain yang cepat memberikan hasil.
Malah, landak mempunyai pasaran dan nilai komersial yang tinggi untuk pasaran tempatan serta luar negara. Tidak hairanlah harga pasaran landak boleh mencecah antara RM120 hingga RM150 sekilogram dan mungkin ramai beranggapan daging landak raya terlalu mahal untuk dijadikan hidangan.
Hakikatnya, daging haiwan eksotik berkenaan bukan saja mendapat permintaan tinggi, malah dikatakan lebih mudah dijual berbanding kambing. Memeliharanya pula sangat mudah, hanya perlu menyediakan kandang khas secara berasingan untuk setiap keluarga landak dan memberi makan sekali sehari.
Faktor ini mendorong Mohammad Fauzan Mansor, 35, menceburi bidang ternakan landak secara komersial sejak tiga tahun lalu. Dia yang menjalankan perusahaan itu di belakang rumah bapanya di Kampung Tanggol, Hulu Terengganu, Terengganu dan ketika ini landak ternakannya sudah membiak hingga 66 ekor semuanya.
“Mulanya, saya membeli induk dan baka landak sebanyak tujuh ekor dengan harga RM4,000. Pada 2016, jumlah ternakan ini ditambah 20 ekor lagi melalui perjanjian pindah milik daripada pengusaha yang juga rakan baik di Banting, Selangor yang sudah tidak berminat meneruskan perusahaan menternak landak.
“Saya membelanjakan hampir RM10,000 untuk membina kandang menggunakan peruntukan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tapi sebelum memulakan proses menternak, saya lebih dulu mendapatkan lesen memelihara dan menjual landak daripada PERHILITAN (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara),” kata bapa kepada dua anak berusia tiga dan tujuh tahun itu.
Menurut pembekal ikan air tawar itu, dia menyasarkan untuk membekalkan daging landak dalam tempoh dua tahun lagi. Katanya, setakat ini sudah ramai pengusaha restoran dari seluruh Terengganu memintanya membekalkan daging landak untuk mereka.
“Bagaimanapun, pada masa ini, jumlah yang ada tidak dapat memenuhi permintaan apatah lagi landak agak lambat membiak, tidak seperti ternakan lain. Dalam tempoh dua tahun lagi saya jangkakan jumlah ternakan mencecah 200 ekor sekali gus membolehkan saya membekalkannya secara terus-menerus.
“Permintaan tinggi ini menambah keyakinan saya untuk meneruskan perusahaan ini malah rasanya ia lebih menguntungkan berbanding penternakan kambing yang saya lakukan sebelum ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurut Mohammad Fauzan, landak boleh dijual apabila mencecah usia lapan bulan ke atas. “Biasanya daging landak dijual pada RM120 tetapi boleh mencapai RM150 untuk sekilogram sementara induknya boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiz dan umur.
“Seekor landak seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) bersama induknya boleh dijual pada harga RM3,500 hingga RM5,000 bergantung harga pasaran semasa,” katanya.
Menurutnya, dia mempelajari selok-belok penjagaan landak menerusi Internet, bacaan dan bantuan PERHILITAN selain banyak bertanya kepada penternak landak yang berjaya untuk mendapatkan tip penjagaan.
“Landak mempunyai peminat tersendiri sama ada untuk dijadikan makanan atau peliharaan. Saya sendiri pernah memelihara seekor landak yang dijadikan haiwan kesayangan dan ia memang manja serta suka mengekori kita. Sayangnya ia hilang dan mungkin sudah menjadi santapan orang lain. Pendek kata, haiwan ini cukup unik, mudah diuruskan, jinak dan manja,” katanya.
0 comments:
Post a Comment