MINI Malaysia, pengedar utama kenderaan jenama MINI melancarkan dua model baru iaitu Countryman Plug-In Hybrid (PHEV) dan MINI Cooper S Countryman Sports untuk pasaran tempatan, semalam.
MINI Countryman Plug-In Hybrid yang pertama dipasang di luar Eropah untuk kenderaan sports activity (SAV) itu diperkenalkan ke pasaran tempatan dengan enjin 1.5 liter dan transmisi enam kelajuan automatik menjana kuasa kuda 224 hp dan tork mencecah 385 Nm.
Model ini juga dilengkapi ciri pemanduan elektrik penuh sejauh 42 kilometer (km) dengan kelajuan maksimum 120 km/j yang boleh dicas semula di rumah atau di mana-mana fasiliti mengecas awam di seluruh Malaysia.
Ia juga model paling pantas dalam kelasnya dengan pecutan dari sifar hingga 100 km/j sekitar 6.8 saat serta mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 198km/j pada penggunaan petrol sekitar 2.1 liter bagi setiap 100 km.
Sistem eALL4 MINI menawarkan pengalaman pemanduan seakan go-kart sebagai ciri tarikan utama kenderaan ini yang juga menerima penarafan tertinggi lima bintang untuk Program Pemeriksaan Kenderaan Baru (NCAP) Eropah.
Ciri keselamatan terbaik ditawarkan antaranya Kawalan Kestabilan Dinamik yang memisahkan daya tork mengikut kesesuaian pada gandar hadapan dan belakang. Rekaan luaran dipasang lambang ‘E’ juga sebagai salur pengecas dan ‘S’ berwarna kuning pada bahagian sisi, belakang dan gril hadapan, kemasan pintu khas dan kit badan ALL4 serta rim aloi 18 inci tampil menyerlah.
Untuk model MINI Cooper S Countryman Sports, ia mencatat sejarah tersendiri sebagai negara kedua selepas Belanda yang dilakukan pemasangan secara tempatan (CKD) sejak diperkenalkan di negara ini pada 2013.
Countryman Sports baru ini disertakan dengan pakej eksklusif John Cooper Works (JCW) dijana dengan enjin turbo TwinPower MINI 2.0 liter serta lapan kelajuan automatik untuk kuasa kuda 192 hp dan daya tork 280 Nm.
Ia mampu memecut dari sifar ke 100km/j dalam tempoh 7.4 saat dan kelajuan maksimum mencecah 224 km/j serta penggunaan petrol rendah sekitar 6.5 liter untuk setiap 100 km. Ruang dalamannya juga dipadankan dengan paparan sesentuh bersaiz 8.8 inci dan sistem navigasi, selain tempat duduk daripada bahan Leather Cross Punch berwarna hitam serta roda stereng JCW MINI.
Untuk model PHEV, ia mempunyai pilihan kombinasi warna badan dan bumbung iaitu merah (Chili Red), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey), putih (Light White), perak (Melting Silver) dengan bumbung hitam; dan warna biru (Island Blue) yang dipadankan dengan bumbung putih.
Manakala, Countryman Sports ditawarkan dengan pilihan warna merah (Chili Red), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey) dan putih (Light White). Harga jualan untuk MINI Countryman Plug-In Hybrid bermula dari RM255,888 dan MINI Cooper S Countryman Sports pada RM245,888 dengan jaminan empat tahun pengeluar tanpa had perbatuan.
0 comments:
Post a Comment