My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 6 April 2018

    Kembar Tak Serupa



    Kebelakangan ini, banyak syarikat automotif dunia menghasilkan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) berikutan permintaan terhadapnya yang naik mendadak sehingga melangkaui jualan jentera sedan. Tidak terkecuali fenomena ini berlaku di negara ini apabila pelbagai model SUV mula memonopoli jalan raya. 

    Enggan ketinggalan, Hyundai Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) memperkenalkan dua varian diesel turbo terbaru Hyundai Tucson 2.0L CRDi dan 1.6L GDi untuk pasaran tempatan. Baru-baru ini, HSDM menyerahkan kunci pintar SUV terbaru itu kepada penulis untuk dipandu uji selama beberapa hari.

    Sejujurnya, penulis sudah lama berkenan dengan reka bentuk SUV kelahiran Korea Selatan ini kerana menampilkan kelainan berbanding jenama lain. Jika sebelum ini, produk dari negara itu sentiasa mendapat penarafan rendah dalam kalangan pengguna jalan raya kerana dikatakan kurang berkuasa dan rekaan yang agak ketinggalan, namun segala-galanya kini berubah mengikut peredaran semasa.

    Lihat saja lambakan jenama kenderaan dari negara itu yang mula memenuhi setiap pelosok jalan raya termasuk di pekan kecil.

    Rekaan luaran

    Andai dilihat susuk fizikalnya, kedua-dua varian Tucson turbo ini dikategorikan sebagai SUV kelas pertengahan dengan menawarkan lima tempat duduk kualiti premium yang selesa untuk semua penumpang.

    Ketampanan jentera ini sudah pasti pada garis palang gril radiator yang diapit kemas perumah lampu hadapan menempatkan empat projektor LED serta lampu isyarat membelok. Jalur lampu nyalaan siang (DRL) di bawah bampar direka tidak keterlaluan dan mudah kelihatan.

    Menariknya, cahaya lampu utama akan menuruti putaran stereng bertujuan memberi lebih pencahayaan sisi setiap kali pemandu membelok ketika memandu pada waktu malam. Malah, lampu kecil di bawah cermin sisi memastikan tiada halangan atau ancaman haiwan berbisa ketika mahu memasuki kenderaan.

    Selain itu, lekuk sisi memanjang dari pintu hadapan sehingga melepasi pintu belakang menyerlahkan lagi gaya sporty SUV urban ini. Bahagian belakang juga tidak terkecuali menarik apabila rekaan perumah lampu berbentuk bujur sangat unik dan eksklusif. Rekaan bampar belakang juga tampak kemas dengan reflektor dan skirting belakang tidak keterlaluan.

    Rim dwitona bersaiz 19 inci menambahkan gaya maskulin jentera lasak ini. Direka berdasarkan tema Hyundai Fluidic Sculpture 2.0, model terbaru Tucson ini memiliki ciri mewah dengan gaya yang menyerlah. Tiada perbezaan ketara antara kedua-dua varian turbo ini.

    Ruang dalaman 

    Seperti kebiasaan kenderaan moden hari ini, balutan kulit pada setiap kerusi adalah gaya premium terbaik dan Tucson juga tidak terkecuali. Kulit hitam adalah ciri standard model ini tetapi pembeli boleh memilih warna lain seperti merah atau putih mengikut selera masing-masing dengan sedikit caj tambahan.

    Paparan meter RPM dan kelajuan agak besar dengan skrin maklumat pemanduan LCD 4.2 inci di tengah yang diapit dua bulatan meter memaparkan RPM dan kelajuan, bersesuaian dengan DNA sebuah SUV moden. Papan pemuka pula agak ringkas dengan hanya butang kawalan manual pendingin hawa dan lampu amaran menghiasi bahagian tengah.

    Bagaimanapun, kekurangan itu ditampung dengan sistem Audio Visual Navigasi (AVN) termaju yang menggunakan operasi Adroid. Konsol tengah menempatkan kotak simpan barang selain tombol gear, butang Brek Parking Elektronik (EPB) dan mod pemanduan sama ada Normal, Eco atau Sports. 

    Kerusi elektrik boleh laras untuk pemandu memastikan setiap perjalanan diharungi dengan selesa. Penumpang belakang juga tidak berasa bosan apabila penyandar kerusi boleh direndahkan mengikut keselesaan selain menikmati hembusan udara dingin melalui unit pendingin hawa di bahagian belakang konsol tengah.

    Pemanduan lancar 

    Bagi varian 2.0L, tekan saja butang penghidup enjin, terdengar ngauman enjin turbo diesel empat silinder R2.0 CDRi yang berupaya menghamburkan 178 PS pada 4,000 rpm dengan daya tujahan maksimum 400 Nm pada 1,750 hingga 2,750 rpm. Jentera ini didatangkan bersama transmisi automatik enam kelajuan.

    Varian ini dilengkapi penyuntik elektronik Piezo yang menggunakan bahan api rendah pada 1,800 bar dan pelepasan karbon 186 gram bagi setiap 100 kilometer. Apa yang menariknya mengenai SUV ini, sebaik tombol gear digerakkan ke mod Drive (Pandu), EPB akan dinyahaktif secara automatik tanpa perlu menekan butang.

    Berbeza pula dengan varian 1.6L Turbo GDi, model ini didatangkan bersama nadi 1,591cc yang menawarkan 177 PS pada 5,000 RPM dan tork 265 Nm pada 1,500 hingga 4,500 RPM. Walaupun kuasa dan tork lebih rendah berbanding varian 2.0L, enjin berkuasa turbo ini dipadankan bersama transmisi automatik DCT tujuh kelajuan.

    Sepanjang memandu kedua-dua ‘pasangan kembar’ ini, penulis tidak terasa sebarang kehilangan kuasa sama ada ketika mula bergerak, memecut atau memintas kenderaan di hadapan. Ternyata tenaga dihasilkan sangat mengujakan sehingga penulis terlupa sedang memandu SUV yang tinggi dan lebar.

    Padanan suspensi hadapan McPherson Strut dan Multi-Link pada gandar belakang memastikan setiap hentakan dan lekukan di jalan raya tidak diserap masuk ke dalam kabin. Kawalan di selekoh juga tidak mengecewakan apabila SUV ini tidak terlalu membuai seperti kelaziman bagi kenderaan tinggi, namun penulis merasai sedikit gelinciran pada roda belakang.

    Ketika ini, sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) memainkan peranannya mengawal kuasa enjin seterusnya mengelakkan roda daripada hilang cengkaman.

    Seperkara lagi, pintu kargo belakang boleh dibuka secara automatik dengan hanya menekan butang khas pada kunci pintar yang kebiasaannya hanya boleh ditemui pada SUV berjenama premium atau berharga hampir RM200,000.

    Keselamatan termaju

    Oleh kerana SUV ini berkuasa turbo, aspek keselamatan adalah ciri terpenting yang perlu ada bagi memastikan keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain.

    Kedua-dua varian ini didatangkan bersama enam beg udara, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Sistem Bantuan Brek (BAS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), kerangka Advanced High-Strength Steels (AHSS), Kawalan Brek Menuruni Bukit (DBC), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) dan Sistem Bantuan Meletak Kenderaan (PAS) dengan kamera.

    Keseluruhannya, dengan harga RM155,788 (tanpa insurans) bagi varian 2.0L CRDi dan RM145,688 untuk 1.6L Turbo GDi, enam pilihan warna ditawarkan dengan pilihan rim dan trim dalaman. Bagi mereka yang mahu menukar selera daripada sedan kepada SUV, Tucson adalah pilihan yang patut ada dalam senarai singkat kerana kepuasan disajikan Hyundai kali ini tidak mengecewakan.

    SPESIFIKASI: 

    Hyundai Tucson 2.0 CRDi 

    Enjin: R2.0 Diesel CRDi 1,995cc 16 Injap pengecas turbo 
    Transmisi: Enam kelajuan automatik
    Kuasa maksimum: 178 PS @ 4,000 rpm
    Tork maksimum: 400 Nm @ 1,750-2,750 rpm
    Ciri keselamatan: Enam beg udara, VSM, VSC, ABS, BAS, ESC, AHSS, DBC, HAC dan PAS Harga: RM155,788 (tanpa insurans)

    Hyundai Tucson 1.6L GDi Turbo 

    Enjin: Gamma 1.6 GDi 1,591cc 16 Injap pengecas turbo 
    Transmisi: DCT tujuh kelajuan automatik
    Kuasa maksimum: 177 PS @ 5,500 rpm
    Tork maksimum: 265 Nm @ 1,500-4,500 rpm
    Ciri keselamatan: Enam beg udara, VSM, VSC, ABS, BAS, ESC, AHSS, DBC, HAC dan PAS Harga: RM145,688 (tanpa insurans)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kembar Tak Serupa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top