My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 5 April 2018

    Eksperimen Gabung Medium Berbeza



    Mengenali gadis muda ini, penulis sentiasa kagum dengan perincian dan ketelitian khususnya berkenaan pencahayaan dan bayangan dalam setiap lukisannya. Menampilkan dua karya terbaru, Raimi Sani, 26, mengetengahkan gaya dan konsep sedikit berbeza dalam pameran berjudul ‘Filling the Void.’ 

    Pameran yang bakal membuka tirai pameran pada 7 hingga 21 April ini berlangsung di Galeri G13, Kelana Jaya, Selangor itu terbuka kepada orang ramai. Menurut Raimi, berbeza dengan karya sebelum ini, kelainan yang diketengahkan bukan saja aspek tema lukisan itu saja tapi turut mempelbagaikan konsep dan gayanya.

    “Karya terbaru ini bertemakan ‘fortuitous’ yang membawa maksud sesuatu berlaku secara kebetulan. Dalam salah satu karya dalam pameran ‘Filling the Void’ ini saya tampilkan lukisan bertajuk Wall Flower. Ia menceritakan berkenaan seseorang pemerhati. Walaupun ‘wall flower’ itu sekadar hiasan dinding, ia mempunyai peranan besar.

    “Sering dianggap tidak bermanfaat, ia sebenarnya mempunyai peranan besar sebagai perhiasan di sekeliling kita. Namun, menjadi lumrah kita terlepas pandang sesuatu yang positif pada sesuatu benda dilihat tidak penting,” katanya.

    Masih mengetengahkan teknik ‘chiaroscuro’ iaitu pencahayaan dan bayangan dramatik dalam penghasilan karyanya, Raimi menampilkan kelainan menerusi elemen warna yang digunakan. “Saya cuba bermain dengan warna selain pantulan dari kain fabrik putih supaya berbeza berbanding siri saya yang lepas iaitu ‘White Knight.’

    “Penggunaan ‘costume’ inspirasi dari era Victorian yang saya jahit sendiri juga mempengaruhi gaya karya seni halus saya yang terbaru ini,” katanya.

    Raimi juga bijak bereksperimen dalam pameran kali ini dengan menggabungkan medium berbeza seperti tanah dan akrilik. “Medium kali ini sedikit berbeza daripada siri sebelumnya apabila saya menggabungkan sedikit media tanah dan akrilik untuk mendapat kesan visual batu kerikil pada permukaan kasar dinding.

    “Selain itu, saya mengekalkan penggunaan media cat minyak seperti biasa,” katanya. Raimi yang cukup sinonim dengan melukis lukisan figuratif juga menganggap tema diketengahkan kali ini mencabar.

    “Tema pada pameran ‘Filling the Void’ ini mengajar saya erti ketenangan dan kecekalan memandang ke arah positif. Dalam siri baru ini juga memberi sedikit bayangan apabila subjek cuba keluar dari zon keselesaan. Cabaran pada karya kali ini jelas terlihat pada apabila saya menggabungkan medium semula jadi seperti tanah sebagai tanda pengenalan dengan dunia luar.

    “Karya terbaru ini turut mencabar diri untuk keluar dari zon keselesaan saya sendiri,” katanya. Penggemar seni wajib menonton karya barisan artis yang dipamerkan di ‘Filling the Void’ kerana setiap artis menzahirkan perhubungan antara ruang dan manusia. Selain bagaimana artis bertindak balas dengan ruang dalam karya mereka.

    Selain Raimi, pameran yang mengetengahkan bakat seni halus artis muda tempatan ini turut mempersembahkan hasil kerja tangan Alexandra Hon, Amy Nazira, Azizul Nasir, Cheong Tuck Wai, Gan Zse Hooi, Gan Tee Sheng, Khairudin Zainudin dan Yuki Tham. Kunjungi Galeri G13 di tingkat bawah, Block B, Kelana Square, Jalan SS7/26, 47301 Kelana Jaya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Eksperimen Gabung Medium Berbeza Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top