BERMULA di petak kedua terakhir grid permulaan tidak mematahkan semangat pelumba terbaik negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila membuktikan dia masih mampu melakukan tunggangan cemerlang dengan menduduki kedudukan kesembilan di Grand Prix (GP) Argentina awal pagi semalam.
Hafizh yang berdepan masalah pada jentera pada sesi kelayakan di Litar Termas de Rio Hondo kelmarin terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-23, namun pelumba negara itu melakukan perubahan terakhir bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 selepas keadaan litar bertukar basah.
Pelumba berusia 23 tahun itu berjaya melepasi beberapa pelumba berpengalaman seperti Danilo Petrucci (Alma Pramac Racing) dan pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro untuk memastikannya menamatkan perlumbaan tempat kesembilan dalam tempoh 41 minit 0.653 saat (s) sekali gus mengutip tujuh mata berharga.
“Pada sesi kelayakan saya tidak dapat beraksi dengan baik kerana berdepan masalah pada jentera sekali gus terpaksa menerima hakikat memulakan saingan di petak ke-24. Saya tidak berputus asa dan masih mempunyai motivasi yang tinggi untuk melakukan pelarasan yang berlainan pada perlumbaan sebenar.
“Saya dapat rasakan pasukan telah lakukan yang sempurna pada jentera dan ia merupakan perlumbaan yang sangat luar biasa. Sudah pasti semua orang gementar beraksi dengan keadaan cuaca seperti ini.
“Ketika perlumbaan saya meletakkan fokus 100 peratus dan bekerja keras untuk memintas pelumba lain tetapi Ducati sangat laju pada laluan lurus. Apa pun saya sangat gembira raih keputusan yang positif ini di Argentina. Saya harap dapat pamer aksi terbaik di GP Amerika Syarikat nanti,” katanya.
Hafizh kini menduduki tempat ke-13 dalam kategori pelumba selepas mengumpul sembilan mata setelah mengutip dua mata pada perlumbaan pembukaan di GP Qatar 18 Mac lalu.
Hasil keputusan tersebut, pelumba kelahiran Ampang, Selangor itu turut menjadi pendahulu pelumba rookie (baharu) dengan mengatasi juara Moto2 2017, Franco Morbidelli dan pelumba Jepun, Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu) selepas menamatkan dua perlumbaan musim ini.
Dalam saingan itu, pelumba pasukan LCR Honda Castrol, Cal Crutchlow menjuarai perlumbaan dengan catatan 40 minit 36.342s dan diikuti rapat pelumba Monster Yamaha Tech3, Johann Zarco (40’36.593s) tempat kedua, manakala tempat ketiga menjadi milik, pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins (40’38.843s).
0 comments:
Post a Comment