Kediaman mewah di lokasi utama sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) kini mengalami penurunan harga. Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, segmen hartanah kategori kediaman atau rumah mewah di kawasan utama didapati mengalami penurunan harga.
Menurutnya, segmen hartanah berkenaan mengalami pembetulan harga kurang 10 peratus daripada harga sebenar transaksi sejak 18 hingga 24 bulan yang lalu atau kira-kira 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga asal penjual rumah di pasaran sekunder.
“Bagi kediaman sekitar KLCC, ia ditawarkan pada harga di bawah RM1,800 setiap kaki persegi berbanding RM2,500 kaki persegi sebelum ini dan trend berkenaan dilihat berlaku sejak beberapa tahun ini,” katanya pada taklimat Pasaran Hartanah Malaysia oleh Rahim & Co dan Tinjauan Prospek 2018 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata, menerusi kajian dibuat untuk kediaman mewah terutama di KLCC, pihaknya mengandaikan pemaju akan menetapkan harga melangkaui pasaran Kuala Lumpur dengan membandingkan pasaran seperti di Singapura dan Hong Kong.
"Berdasarkan pasaran semasa, harga bagi segmen kediaman mewah kira-kira RM2,500 setiap kaki persegi. Bagaimanapun, harga sebenar ditawarkan bawah RM2,000. “Jadi, saya rasa umumnya harga rumah mewah di Kuala Lumpur sekitar RM1,500 setiap kaki persegi,” katanya.
Menurutnya, penentuan julat harga itu turut bergantung kepada jenis pembangunan, lokasi serta kemudahan yang ada dan harganya tidak lebih sekitar RM2,000 hingga RM2,500 setiap kaki persegi sejak tiga tahun lalu.
Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah 2017/2018 Rahim & Co menyatakan hartanah mewah di Kuala Lumpur masih lagi dianggap mampu milik mengikut skala global, berbanding beberapa bandar utama di Asia Tenggara.
Justeru, individu kaya dan pembeli luar negara masih mampu membeli atau melabur dalam segmen itu. Pada tahun lalu, hanya ada beberapa projek mewah dilancarkan di Kuala Lumpur seperti The Estate di Bangsar, Isola KLCC dan Ascott Star KLCC.
0 comments:
Post a Comment